Ketua jurulatih Brunei DPMM, Jamie McAllister, mengakui jurang kualiti dan pilihan pemain yang terhad menjadi pemisah ketika pasukannya kalah besar 10-0 kepada penyandang juara, Johor Darul Takzim dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
“Kami hanya beraksi dengan seorang pemain import malam ini, Jordan Murray, dan dia bermain dengan baik,” kata McAllister.
“Bila kami datang ke sini tanpa kekuatan penuh, menentang pasukan dengan 21 pemain import, ia memang sukar. Dengan 11 pemain pun susah, apatah lagi bila tinggal 10,” kata McAllister tamat perlawanan.
Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Brunei akur mengalami kekalahan kelima musim ini tatkala JDT pula terus menjadikan Liga Super pentas dominasi mereka.
Skuad Juan Muniz mendahului 4-0 di separuh masa pertama, dan menambah enam gol di babak kedua tatkala Brunei turut kehilangan khidmat Syafiq Safiuddin Shariff pada minit ke-32 kerana kad merah.
“Kami telah menjaringkan 11 gol lebih banyak berbanding musim lalu dan inilah yang kami mahukan — semangat, kekuatan dan karakter.
“Kadang-kadang kami perlukan 20 sentuhan untuk menjaringkan gol, kadang-kadang hanya tiga. Yang penting pasukan bersedia untuk setiap fasa permainan — sama ada mengawal atau melakukan serangan balas. Adaptasi adalah kuncinya,” ujar Muniz.
Kemenangan ini menyaksikan JDT mengekalkan rekod sempurna menang semua lapan perlawanan musim ini. Bergson da Silva menjaringkan empat gol, manakala Oscar Arribas, Manuel Hidalgo, Arif Aiman, Romel Morales dan Jairo da Silva turut mencatat nama dalam senarai penjaring.
Muniz berharap pemain-pemainnya tidak terbuai dan leka, sebaliknya terus bekerja keras meningkatkan prestasi.
“Pemain yang bagus mampu bermain dua atau tiga kali seminggu. Itulah tahap kami. Kami tidak boleh bergantung pada keputusan atau lawan. Yang paling penting ialah mengekalkan rentak dan disiplin kami.”



