FIFA mengesahkan kedatangan Presidennya, Gianni Infantino ke Malaysia tidak berkaitan dengan isu hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan penggantungan tujuh pemain warisan.
Infantino telah bertemu dengan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Sabtu, dengan foto pertemuan mereka menjadi tular di media sosial.
Ia pantas menimbulkan spekulasi dalam kalangan penyokong bahawa pertemuan itu ada kaitan dengan isu dakwaan pemalsuan dokumen serta hukuman yang dikenakan. Ada yang menganggap ia memberi bayangan positif, dan juga secara berseloroh mengatakan hukuman mungkin akan diringankan atau ditarik balik kerana TMJ sudahpun ‘setel tepi’ dengan Infantino.
Sebaliknya FIFA melalui laman rasmi mereka menjelaskan pertemuan itu merupakan sebahagian daripada lawatan kerja rasmi, yang mana turut merangkumi pelancaran projek padang mini FIFA Arena serta pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pembangunan bola sepak negara.
FIFA sebelum ini mendenda FAM CHF350,000 (RM1.9 juta) atas dakwaan memalsukan dokumen berkaitan pemain warisan. Tujuh pemain warisan berkenaan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bolasepak.
Keputusan rayuan berkenaan hukuman itu akan diketahui pada 30 Oktober nanti.
Dalam pada itu, Infantino mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan FAM atas sokongan berterusan mereka, serta menegaskan komitmen FIFA untuk membantu memperkukuh infrastruktur bola sepak Malaysia melalui program FIFA Forward.
“Anak-anak bukan sahaja akan mempunyai tempat untuk belajar, tetapi juga tempat untuk bergembira, berseronok, menikmati masa mereka dalam persekitaran yang selamat dan terjamin,” kata Infantino seperti yang dipetik di fifa.com.
Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin pula berkata: “Presiden Gianni telah memainkan peranan penting dalam menyokong bola sepak Malaysia. Beliau menerajui pelbagai inisiatif pembangunan sepanjang 11 tahun yang lalu.
“Misi beliau untuk menjadikan bola sepak benar-benar bersifat global sedang direalisasikan melalui inisiatif berimpak tinggi seperti program FIFA Forward, FIFA Arena, dan FIFA Football for Schools yang mencerminkan inti pati sebenar pembangunan dan keterangkuman dalam bola sepak.
“Inisiatif-inisiatif ini bukan sekadar berkisar tentang infrastruktur atau pembiayaan, tetapi tentang memberi inspirasi kepada impian, memupuk bakat, serta memberikan setiap anak — tanpa mengira latar belakang — peluang untuk merasai kegembiraan dan perpaduan yang dibawa oleh bola sepak.”



