Selangor mengalami tamparan hebat dalam misi mengejar kejuaraan musim ini, apabila kehilangan khidmat tonggak pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar.
Pemain berusia 26 tahun itu yang lebih dikenali sebagai afro dijangka berehat panjang selepas disahkan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan meniskus.
Pasukan bergelar Gergasi Merah dalam satu kenyataan di laman Facebook memaklumkan kecederaan lutut kiri itu dialami Sharul Nazeem ketika aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.
Pada aksi yang berkesudahan seri tanpa jaringan itu, Sharul Nazeem dikeluarkan pada minit ke-38 dan digantikan oleh Harith Haiqal Adam Afkar.
“Hasil keputusan ujian MRI mengesahkan dia (Sharul Nazeem) mengalami kecederaan anterior cruciate ligament dan meniskus.
“Dia akan menjalani program prapemulihan selama dua minggu bagi mengurangkan kesakitan, bengkak serta meningkatkan daya pergerakan kaki sebelum menjalani pembedahan yang dijangka membabitkan rekonstruksi ACL dan pembaikan meniskus.
“Seluruh warga kelab Gergasi Merah, rakan sepasukan, staf dan penyokong sentiasa berada di belakang Afro. Terus kuat dan positif sepanjang tempoh pemulihan ini. Kami yakin Afro akan kembali dengan lebih kuat!” menurut kenyataan itu.
Susulan kecederaan berkenaan, Selangor akan kehilangan khidmat pertahanan kental itu bermula dengan aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, pada Rabu.
Pasukan yang dikendalikan sementara oleh Christopher Gamel itu sedang mencabar serius saingan Piala FA dan diyakini dapat mengakhiri musim dengan sekurang-kurangnya satu piala.



