Sehari dua ini, viral di media sosial gambar Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Noor Azman Rahmad bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino, sedangkan beliau sepatutnya digantung daripada tugasnya.
Ini menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penyokong, ada yang memberikan komen sinis “FAM lupa Noor Azman sebenarnya digantung” dan ada juga yang mengatakan penggantungan beliau hanyalah satu retorik ataupun wayang semata-mata.
Benarkah begitu, FAM tampil memberikan penjelasan. Menurut badan induk itu, pertemuan Noor Azman bersama Infantino tidak ada kena-mengena dengan sebarang urusan rasmi.
FAM menjelaskan gambar yang dirakam itu bersifat peribadi dan bukannya semasa mana-mana acara rasmi FAM atau FIFA.
“Datuk Noor Azman hadir atas kapasiti peribadi dan bukan mewakili FAM dalam sebarang urusan rasmi. Ia bukan majlis rasmi FAM mahupun FIFA.
“Sejak dikenakan hukuman penggantungan tugas pada 17 Oktober 2025, beliau tidak terlibat dalam sebarang aktiviti, mesyuarat atau program rasmi FAM. Kami berharap penjelasan ini dapat memperjelas kekeliruan yang mungkin timbul,” kata pemangku presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.
Untuk makluman, FAM menggantung tugas Noor Azman selepas FIFA memulakan prosiding tatatertib berhubung isu kelayakan tujuh pemain warisan dalam skuad kebangsaan.
Bulan lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati bahawa Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA — berkaitan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu — telah dilanggar dalam isu tuntutan asal-usul pemain-pemain tersebut.
Akibatnya, FAM dikenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta), manakala tujuh pemain berkenaan — Facundo Garces, Imanol Machuca, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal — digantung selama 12 bulan serta masing-masing didenda 2,000 franc Swiss selepas disabit menggunakan sijil kelahiran palsu untuk mengesahkan kelayakan mereka.



