HomeSukanMFL Tunggu Respon FAM

MFL Tunggu Respon FAM

Susulan keputusan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain yang terlibat dalam pemalsuan dokumen, apakah implikasinya kepada saingan liga domestik dan juga skuad kebangsaan?

Ia persoalan yang bermain dalam kalangan penyokong sejurus mendapat tahu CAS mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan ke atas tujuh pemain iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal, dan Hector Hevel.

Menurut laporan disiarkan The Star, Malaysia Football League (MFL) sedang menantikan respons daripada FAM terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai kesan keputusan CAS itu.

“MFL akan menunggu FAM mengeluarkan kenyataan rasmi sebelum kami mengeluarkan sebarang maklumat lanjut mengenai situasi ini,” kata sumber MFL kepada TheStar.

MFL terheret sama dalam isu ini kerana dua kelab gabungan mereka — JDT dan Kuching City — mendaftar dan menurunkan beberapa pemain yang terlibat dalam kes ini di pertandingan domestik. Pemain-pemain tersebut adalah Figueiredo, Hevel, dan Irazabal (JDT) serta Gabriel Palmero (Kuching City).

Memandangkan pemain-pemain ini telah sah didapati bersalah dan dihukum, maka mereka tidak lagi boleh dipanggil sebagai pemain warisan dan sewajarnya tidak boleh didaftarkan atas kuota pemain tempatan. Dalam masa sama, mereka juga boleh mengucapkan selamat tinggal kepada skuad Harimau Malaya.

Buat masa ini, pengurusan skuad kebangsaan juga telah diarahkan untuk menunggu kenyataan rasmi FAM sebelum memberikan sebarang maklum balas.

“Kami telah diberi taklimat untuk menunggu kenyataan FAM terlebih dahulu. Selepas itu, kami akan mengeluarkan kenyataan media sendiri. Saya rasa ini adalah pendekatan yang paling wajar untuk FAM menangani perkara ini terlebih dahulu sebelum kami menyusul, terutamanya dengan perlawanan menentang Vietnam yang bakal tiba,” menurut sumber.

Malaysia dijadualkan menentang Vietnam dalam aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nam Dinh pada 31 Mac depan.

Untuk rekod, CAS pada Khamis telah mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain dalam isu pemalsuan dokumen kelayakan mewakili skuad kebangsaan.

Rayuan mereka diterima sebahagiannya apabila sekatan dipinda kepada larangan bermain perlawanan rasmi sahaja, dan masih boleh terlibat dalam aktiviti bolasepak yang lain.

Bagaimanapun, rayuan berasingan yang dikemukakan oleh FAM telah ditolak, yang bermaksud badan induk itu tetap perlu membayar denda sebanyak 350,000 Swiss francs (RM1.8 juta).

RELATED ARTICLES

Most Popular