Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengambil maklum keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung kes tujuh pemain warisan serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan akan membentangkan perkara itu kepada jawatankuasa disiplin badan berkenaan untuk tindakan lanjut.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul berkata badan itu telah menerima laporan siasatan dan akan berusaha mencapai keputusan dengan segera mengenai status Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Ini kerana keputusan berhubung perkara itu perlu dimuktamadkan sebelum undian kejohanan berkenaan yang dijadual berlangsung bulan ini.
“Sekarang keputusan itu sudah rasmi, kami mengambil maklum dapatan CAS. Kami akan membentangkan keputusan ini kepada jawatankuasa disiplin dengan segera.
“Keutamaan kami adalah untuk menyelesaikan perkara ini secepat dan seefisien mungkin. Namun, kami perlu memastikan semua garis masa yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya. Terdapat proses yang perlu diikuti. Setelah jawatankuasa kami membuat keputusan, FAM masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan.
“Kami tidak beranggapan FAM akan terus menerima keputusan awal itu; mereka mempunyai pilihan untuk membawa perkara ini ke peringkat seterusnya, termasuk hak untuk merujuk semula kes ini kepada CAS sekiranya difikirkan perlu,” kata Windsor.
Terdahulu pada Khamis, panel CAS mendapati bahawa kesalahan memalsukan dokumen kelayakan sepertimana didakwa memang terbukti dan larangan 12 bulan daripada bermain perlawanan adalah hukuman yang munasabah serta seimbang bagi tujuh pemain itu.
CAS turut menekankan ini memandangkan tanggungjawab mereka iaitu Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel bersubahat dalam penipuan itu.
“Namun, selaras dengan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA FDC, panel memutuskan bahawa larangan itu hanya terpakai kepada perlawanan rasmi sahaja, bukan kepada semua aktiviti berkaitan bola sepak.”
“Ini bermakna pemain boleh kembali menjalani latihan bersama kelab masing-masing sepanjang tempoh larangan. Oleh itu, rayuan para pemain diterima sebahagiannya dan sekatan itu dipinda sebahagiannya.
“Larangan bermain perlawanan bermula hari ini, 5 Mac 2026, dengan mengambil kira tempoh dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026 yang telah pun berkuat kuasa sebelum ini.
Bagaimanapun, satu lagi rayuan berasingan oleh FAM telah ditolak, yang bermaksud badan induk bola sepak negara itu masih perlu membayar denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta).



