Pengendali Sanfrecce Hiroshima, Bartosch Gaul menegaskan peluang pasukannya ke suku akhir Liga Juara Asia Elit (ACLE) belum tertutup meskipun dikejutkan Johor Darul Takzim dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu.
Menurut Bartosch, pasukannya tetap memberikan tentangan sengit meskipun bermain di hadapan lebih 30,000 penyokong JDT dan kekalahan 1-3 tidak menggambarkan kekuatan sebenar pasukannya yang beraksi dengan beberapa kekangan.
Pada perlawanan itu, Hiroshima bermain dengan 10 pemain untuk tempoh lebih 65 minit selepas Kim Ju Sung dilayangkan kad merah.
Mereka berjaya mengikat kedudukan tanpa jaringan di separuh masa pertama, namun melepaskan tiga gol kepada Ager Aketxe, Bergson da Silva dan Marcos Guilherme di babak kedua sebelum mendapat jaringan saguhati pada hujung perlawanan menerusi jaringan sendiri Rui Felipe.
Menjelaskan kekalahan tersebut, Bartosch berkata: “Bermain dengan kekurangan seorang pemain ketika berdepan lawan yang dibarisi ramai pemain berkualiti bukan tugas mudah.
“Pemain berdepan dengan pelbagai isu sebelum perlawanan seperti tempoh perjalanan yang panjang, cuaca panas dan kering serta tidak mendapat tidur yang berkualiti apabila dikejutkan dengan dentuman bunga api di luar hotel.
“Ia menyebabkan perlawanan ini sukar buat kami. Bagaimanapun, pemain telah melakukan tugas dengan baik malah hampir menjaringkan gol kedua perlawanan, saya bangga dengan apa mereka pamerkan,” katanya.
Perlawanan timbal balik dijadual berlangsung pada 11 Mac depan di Hiroshima, dan Bartosch yakin pasukannya akan bangkit dan tampil dengan prestasi lebih baik. Untuk rekod, ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi peringkat kumpulan di gelanggang sama pada 10 Februari lalu, Hiroshima mencatat kemenangan 2-1.
Dalam pada itu, ini pula komen pengendali JDT, Xisco Munoz yang beranggapan pasukannya masih belum boleh mendabik dada dengan kelebihan agregat dua gol.
“Malam gemilang buat JDT dan penyokong dan ia keputusan positif buat kami tatkala tahap permainan berintensiti tinggi ditunjukkan setiap pemain cukup menakjubkan. Pemain mengikut perancangan taktikal dengan kerap melakukan transisi umpanan bermula di posisi tengan dan bergerak ke sayap kiri dan kanan.
“Apapun, kami tidak boleh terlalu gembira dengan apa yang dicapai kerana masih berbaki 90 minit permainan. Kami jangkakan bakal berliku memandangkan kami harus membuat persiapan lebih rapi untuk berdepan Sanfrecce sekali lagi di Hiroshima dan ianya pasti lebih sengit.”



