Bekas penyerang KL City FC, Patrick Reichelt, mendakwa kelab itu masih berhutang gaji kepada pemain dan kakitangan sejak 2023.
“Bukan saya sahaja, malah ramai pemain dan kakitangan musim lalu, malah sejak 2023 lagi masih belum menerima bayaran. Bersuara di media sosial tidak akan serta-merta melangsaikan hutang tersebut, tetapi penting untuk perkara ini didedahkan kerana hutang tidak akan hilang hanya kerana tiada siapa lagi bercakap mengenainya,” katanya kepada Timesport.
Tunggakan yang melibatkan Reichelt merangkumi tempoh enam bulan sejak penghujung 2023, dan menurutnya kes beliau hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah keseluruhan.
Beliau berkata beberapa pemain dan jurulatih import telah memfailkan aduan kepada FIFA. Namun, beliau berpendapat krisis yang lebih mendalam sebenarnya melibatkan pemain tempatan yang masih belum dibayar gaji, tidak didengari dan sering terlalu takut untuk bersuara.
“Terdapat begitu ramai pemain dan kakitangan tempatan sejak dua tahun lalu yang masih belum menerima bayaran, dan mereka tidak mempunyai suara atau keberanian untuk tampil bercakap. Beberapa bekas pemain dan kakitangan telah menghantar mesej kepada saya mengucapkan terima kasih kerana mendedahkan,” katanya.
Reichelt juga tidak bersetuju dengan cubaan pengurusan baharu KL City yang dilantik pada pertengahan 2024 menyalahkan kepimpinan terdahulu atas kemelut berkenaan.
Menurutnya, mereka mengetahui sepenuhnya situasi ketika mengambil alih pasukan.
“Mereka akan berhujah bahawa hutang ini berpunca daripada pengurusan lama. Mereka duduk semeja, mengetahui setiap perincian dan bersetuju mengambil alih kelab dengan segala syaratnya, termasuk menyelesaikan isu tertunggak.”
Beliau berkata kelab hanya melunaskan 40 peratus daripada jumlah yang dihutang kepadanya menjelang akhir musim lalu, dengan janji baki 60 peratus akan dibayar dalam bulan-bulan berikutnya. Namun, beliau mendakwa pihak kelab kemudian bersikap mengelak dan tidak memberikan komitmen jelas.
“Mereka tidak pernah mengambil inisiatif untuk membuat susulan. Apabila anda menghantar mesej kepada kelab, tiada respons atau hanya mesej yang dirangka dengan berhati-hati meminta lebih masa.”
Sebelum ini, Otai Station ada melaporkan bahawa bekas jurulatih penjaga gol KL City, Guilherme Almeida, terpaksa meninggalkan kelab pada Julai 2024 susulan tunggakan gaji hampir tujuh bulan.
Berita Berkaitan: “7 Bulan Tak Dibayar Gaji, Saya Perlu Untuk Terus Hidup”
Baru-baru ini turut dilaporkan bahawa skuad KL City telah menerima bayaran gaji Januari 2026, selepas timbul dakwaan bahawa kelab itu berdepan tunggakan selama dua bulan.



