Tindakan keras Donald Trump terhadap pendatang tanpa izin, politik yang semakin berpecah-belah serta perang ke atas Iran mencalar imej global Amerika Syarikat ketika hanya berbaki kurang 100 hari sebelum jutaan peminat dijangka hadir menyaksikan Piala Dunia di negara itu.
Piala Dunia edisi 48 pasukan yang pertama kali menampilkan 104 perlawanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada musim panas ini sebelum ini dianggap sebagai peluang besar merancakkan ekonomi dan memacu ledakkan pelancongan global.
FIFA malah memaklumkan jualan tiket mencatat angka luar biasa dengan banyak perlawanan habis dijual.
Namun, tindakan presiden Parti Republikan itu sejak kembali memegang jawatan tahun lalu mengubah landskap berkenaan. Kadar pelancongan yang merosot memberi tekanan kepada industri hotel Amerika Syarikat yang mengharapkan hampir tujuh juta peminat bola sepak hadir sepanjang kejohanan.
Trump melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Iran pada Sabtu yang mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, dan memberi amaran operasi ketenteraan itu mungkin berlanjutan beberapa minggu.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, menyatakan ia bukan petanda baik dan memberi amaran negaranya mungkin enggan beraksi dalam kejohanan itu dengan menyatakan, “kami tidak lagi boleh menantikan Piala Dunia dengan penuh harapan.”
Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam mesej sempena 100 hari sebelum sepak mula pada Selasa tidak menyebut secara langsung mengenai peperangan itu, sebaliknya menegaskan Piala Dunia “akan menyatukan dunia, dan itu mungkin perkara paling penting ketika ini.”
Di sebalik mesej perpaduan oleh FIFA, nada berbeza kedengaran dari White House, apabila Trump menegaskan beliau tidak kisah sama ada Iran beraksi ataupun tidak di Piala Dunia musim panas ini.
“Saya memang tidak ambil peduli langsung. Iran adalah negara yang sudah kalah teruk. Mereka kini cuma bertahan dan bergantung kepada sisa tenaga yang hampir habis,” kata Trump kepada Politico.
Iran dijadualkan beraksi dalam Kumpulan G bersama Belgium, Mesir dan New Zealand, dengan dua perlawanan berlangsung di Los Angeles dan satu di Seattle.
Bagaimanapun, Iran adalah satu daripada dua negara yang tertakluk kepada larangan perjalanan paling ketat di bawah perintah eksekutif Trump sejak Jun lalu.
Walaupun pasukan dan pegawai teknikal dikecualikan daripada larangan itu, keputusan pengecualian visa bagi individu lain – termasuk pegawai kerajaan dan penaja – ditentukan Jabatan Negara AS secara berasingan.
Iran menjadi satu-satunya negara yang tidak menghadiri sidang Piala Dunia FIFA di Atlanta minggu ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penyertaan mereka di bumi AS di tengah ketegangan konflik serantau.
Sebagai rekod, Iran mengesahkan tempat ke Piala Dunia buat kali keempat berturut-turut selepas muncul juara Kumpulan A dalam pusingan kelayakan Asia tahun lalu.
Jika AS dan Iran masing-masing menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga kedua, kedua-dua negara berpotensi bertemu dalam aksi kalah mati pada 3 Julai di Dallas.



