Harapan Malaysia untuk menyaksikan kejayaan bersejarah dalam acara beregu campuran di Terbuka All England menerima tamparan hebat selepas juara dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir seawal pusingan pertama pada Selasa.
Pasangan pilihan keempat itu, yang dianggap sandaran terbaik negara untuk meraih kejuaraan, tewas 18-21, 21-12, 25-23 kepada pasangan Denmark yang menghuni ranking ke-34 dunia, Rasmus Espersen-Amelie Kudsk di Arena Birmingham.
Penyingkiran awal itu menyaksikan penantian panjang Malaysia untuk merangkul gelaran pertama beregu campuran di kejohanan berprestij berkenaan hampir pasti berterusan.
Tang Jie-Ee Wei hadir ke kejohanan tersebut dengan keyakinan tinggi selepas menjuarai Indonesia Masters pada Januari lalu, namun Birmingham sekali lagi menjadi pentas yang tidak memihak kepada mereka.
Kekalahan itu turut memanjangkan rekod buruk mereka di kejohanan badminton tertua dunia itu, apabila masih gagal melepasi pusingan kedua.
Ia juga merupakan tahun kedua berturut-turut Tang Jie-Ee Wei tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Rehan Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja tahun lalu yang ketika itu berada di ranking ke-110 dunia.
Secara kebetulan, kekalahan tersebut juga merupakan kali terakhir mereka tewas kepada pasangan di luar kelompok 30 terbaik dunia sehinggalah keputusan terbaharu ini.
Terdahulu, Malaysia sudah pun menerima tamparan dalam saingan beregu campuran apabila gandingan ranking ke-24 dunia, Jimmy Wong-Lai Pei Jing, tewas 21-17, 21-18 kepada gandingan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan.
Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut Jimmy-Pei Jing kepada pasangan Taiwan tersebut.
Manakala pasangan ranking ke-23 dunia, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, turut tersingkir selepas tewas 21-17, 21-19 kepada gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto, sekali gus menandakan penyingkiran pusingan pertama mereka untuk tahun kedua berturut-turut di Birmingham.
Dengan tersingkirnya Tang Jie-Ee Wei, cabaran beregu campuran Malaysia kini digalas Goh Soon Huat-Shevon Lai, yang pernah mara ke separuh akhir pada 2019, namun harapan realistik untuk menjulang kejuaraan kini dilihat semakin tipis.



