Ketua jurulatih pasukan B-23 kebangsaan, Nafuzi Zain, diselar sebagai ‘cuai dan lalai’ kerana tidak menggunakan jendela antarabangsa pada November untuk mempersiapkan skuadnya bagi menghadapi Sukan SEA di Thailand bulan depan.
Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menegaskan ia adalah sikap sambil lewa yang terlalu jelas, dan pengendali itu sepatutnya lebih serius terhadap tanggungjawabnya.
“Saya memang tak faham kenapa Nafuzi tak ambil peluang ini. Ini masa paling sesuai untuk memanggil pemain, uji mereka, dan mula membentuk pasukan Sukan SEA.
“Sekarang, masa berharga sedang berlalu begitu saja. Tanpa menguji mereka, macam mana kita nak tahu siapa yang betul-betul bersedia?” kata Jamal dipetik dari NST Sports.
Jamal menegaskan bahawa Sukan SEA akan berlangsung di luar jendela FIFA, menjadikan FAM lebih sukar meminta kelab melepaskan pemain.
Disebabkan itu, jendela November ini sebenarnya peluang terbaik untuk mengadakan perlawanan persahabatan, menilai pemain simpanan, dan memuktamadkan senarai akhir. Jamal berkata setakat ini tiada apa-apa berlaku — tiada panggilan pemain, tiada kem latihan, dan tiada aksi persahabatan.
“Nafuzi mungkin ada alasan, tapi dari perspektif saya sebagai bekas pemain dan jurulatih, ini adalah satu pengabaian. Walaupun kelab enggan lepaskan pemain, pengurusan pasukan kebangsaan sepatutnya lebih proaktif,” ujarnya.
“Jendela FIFA memang diwujudkan untuk perlawanan persahabatan, kem latihan, dan penilaian pemain. Ini bukan isu kejohanan semata-mata. Ini tentang membina standard — melahirkan pemain yang yakin, teruji, bersedia untuk bersaing, bukan sekadar menyertai.”
Skuad B-23 kebangsaan menunjukkan prestasi mengecewakan tahun ini di bawah Nafuzi. Dalam Kejohanan AFF B-23, Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas 0-2 kepada Filipina, menewaskan Brunei 7–1, dan seri 0–0 dengan Indonesia.
Dalam kelayakan Piala Asia B-23, Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga kumpulan selepas tewas 0-1 kepada Lubnan, menewaskan Mongolia 7–0, dan tewas 1–2 kepada Thailand.
“Panggil pemain, buat perlawanan, bina keyakinan. Sukan SEA terlalu penting untuk persiapan ala kadar. Kalau kita tak buat apa-apa sekarang, kita akan menyesal bila wisel pertama ditiup di Songkhla,” tambahnya.



