Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menerusi Jawatankuasa Rakyat mendesak tindakan segera diambil selepas Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membuat pendedahan penuh sekaligus mengesahkan wujudnya pemalsuan dokumen, kecuaian melampau serta kelemahan tadbir urus dalam proses naturalisasi tujuh pemain oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
FIFA dalam motivated decision setebal 64 mukasurat, merungkai bagaimana dokumen kelahiran datuk dan nenek pemain dipalsukan secara sistematik, selain mengesan kepincangan ketara dalam proses verifikasi identiti oleh FAM.
Malah, proses naturalisasi terbabit turut didapati ‘dipintas’, dengan pemain serta agen menunjukkan sikap cuai yang nyata, lantas membuka ruang kepada manipulasi rekod rasmi dan kelulusan yang meragukan.
MCW menegaskan skandal ini bukan isu teknikal semata-mata tetapi membabitkan integriti negara dan situasi itu bukan sahaja memalukan Malaysia, malah menimbulkan persoalan besar terhadap ketelusan program naturalisasi atlet tanah air.
Tambah MCW, kes ini memberi implikasi serius kerana ia menawarkan kelebihan sukan yang tidak adil, merosakkan reputasi bola sepak negara serta menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi sukan.
Skandal berkenaan tidak boleh dianggap terpencil kerana membuka pintu kepada penyalahgunaan kuasa, pemalsuan dokumen antarabangsa dan campur tangan pihak berkepentingan.
Justeru, MCW mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat punca sebenar operasi pemalsuan dokumen itu.
Antara persoalan utama ialah siapakah individu yang menghasilkan dokumen kelahiran palsu, bagaimana rekod sebenar dari Sepanyol, Argentina, Belanda dan Brazil menunjukkan pemain tiada kaitan Malaysia, serta sejauh mana kecuaian pegawai FAM sehingga prosedur asas gagal dipatuhi.
MCW turut mempersoalkan bagaimana permohonan kewarganegaraan pemain boleh diluluskan dalam tempoh beberapa minggu tanpa semakan mendalam, walhal borang yang ditandatangani pemain mengandungi maklumat palsu termasuk dakwaan tinggal 10 tahun di Malaysia.
Dalam temuramah bersama FIFA, kesemua tujuh pemain memberitahu mereka tidak mengambil tahu bagaimana proses naturalisasi dikendalikan. Mereka tegaskan, mereka hanya mengikut arahan, tidak membaca apa-apa dokumen, sign sahaja di mana disuruh dengan diberitahu ini semua prosedur biasa untuk dapatkan kerakyatan, malah tidak diberitahu tentang risiko.
Menurut MCW, situasi itu menimbulkan tanda tanya besar mengenai kewujudan orang tengah atau sindiket pemalsuan dokumen yang mungkin sudah beroperasi sejak lama.
Sehubungan itu, MCW mengesyorkan kerajaan menangguhkan sementara program naturalisasi besar-besaran sehingga siasatan menyeluruh selesai. Cadangan itu turut merangkumi audit semula semua proses naturalisasi sejak 2015, penggantungan klausa ‘keturunan’ dalam permohonan atlet, penambahbaikan standard verifikasi dokumen antarabangsa oleh KDN dan JPN serta pembentukan unit integriti bebas di bawah FAM.



