“Tidak perlu sibuk mengkritik orang lain pada ketika persatuan sendiri huru-hara dan penuh dengan masalah,” demikian tegas Pengarah Sukan Kuala Lumpur City FC, Jerry Dinesh Pereira yang mahu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menyelesaikan konflik yang sekian lama berlarutan tanpa penyelesaian.
Menerusi laporan Graig Nunis di portal TwentyTwo13, Jerry Dinesh berkata Timbalan Presiden KLFA, Datuk Kamarudin Hassan sepatutnya memberi tumpuan mencari solusi kepada isu-isu yang belum selesai dalam persatuan itu, sebelum sibuk mengkritik Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang menuntut akauntabiliti berhubung laporan audit AFC terhadap FAM – yang mana bukan urusan KLFA.
Mengulas lanjut tentang konflik yang dimaksudkan, Jerry Dinesh berkata kelab futsal miliknya Kuala Lumpur City FC telah wujud sejak tahun 2009. Namun, kekeliruan timbul selepas pasukan Liga Super milik KLFA yang sebelum ini dikenali sebagai KL United FC ditukar nama kepada Kuala Lumpur City Football Club pada tahun 2021.
Menurut Jerry Dinesh, persamaan nama antara kelab futsalnya dan kelab bolasepak itu telah berulang kali menimbulkan kekeliruan yang menjejaskan organisasinya secara tidak adil.
“KLFA sedang berada dalam keadaan yang bercelaru. Mereka masih mempunyai tunggakan gaji melibatkan pemain dan jurulatih Kuala Lumpur City Football Club, selain berdepan isu undang-undang serta notis hutang yang semakin bertambah. Namun, daripada menyelesaikan masalah tersebut, salah seorang pemimpinnya memilih untuk menyerang mereka yang menuntut akauntabiliti,” ujar Jerry Dinesh.
Tambahnya lagi: “Kami menerima notis undang-undang daripada FIFA berkaitan isu tunggakan gaji hanya kerana ramai menganggap kami adalah entiti yang sama. Kami kini sedang mendapatkan pengesahan rasmi daripada FIFA dan AFC bahawa Kuala Lumpur City FC merupakan entiti yang berasingan. Kami tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap liabiliti yang bukan milik kami, dan kami juga tidak akan membiarkan imej kami tercalar.”
Jerry Dinesh turut kesal dengan sikap membisu dan berdiam diri KLFA meskipun pihaknya telah menghantar beberapa surat kepada mereka bagi mencari penyelesaian.
“Setiausaha Agung KLFA mahupun Kamarudin, yang pernah memegang jawatan itu sebelum ini, tidak pernah memberikan respons mengenai isu dua entiti yang beroperasi dengan nama yang hampir sama. Kamarudin sendiri gagal menguruskan organisasinya dengan baik, tetapi masih mahu mengeluarkan kenyataan mengenai seorang ahli politik yang hanya menuntut akauntabiliti.”
Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena minggu ini, Kamarudin mempersoalkan mengapa Ramkarpal mahu laporan penuh audit AFC terhadap FAM didedahkan kepada umum dan dibentangkan di Parlimen.
Menurut Kamarudin, Ramkarpal sekadar ingin menangguk di air yang keruh dan cuba mencari populariti dengan menunggang kemelut antara FAM dan AFC itu. Namun, Jerry Dinesh menyifatkan kenyataan itu tersasar daripada isu sebenar.
“Daripada mempersoalkan mereka yang menuntut akauntabiliti, pemimpin bola sepak sepatutnya bekerjasama mencari penyelesaian terhadap masalah ini dan merangka jalan ke hadapan yang lebih konstruktif,” katanya.
Pada 4 Jun lalu, AFC mendedahkan beberapa dapatan membimbangkan hasil audit terhadap FAM, termasuk skor rendah dalam aspek tadbir urus, kewangan, pengurusan risiko dan fungsi pentadbiran badan induk bola sepak negara itu semasa Kongres Luar Biasa FAM.



