HomeSukanPemain Terbaik Dunia Pun Gagal Skor Penalti

Pemain Terbaik Dunia Pun Gagal Skor Penalti

Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak mengakui skripnya mungkin berbeza andai Ramadhan Saifullah Usman berjaya menyempurnakan penalti pada minit ke-63 dalam aksi final Piala Malaysia menentang JDT pada Sabtu.

Kegagalan pemain sayap itu yang mana sepakannya tersasar ke kiri gawang kawalan Ahmad Syihan Hazmi, seolah mematikan rentak Kuching City dan memberi lonjakan semangat besar buat skuad Harimau Selatan. Ia jelas malam yang tidak menjadi buat Ramadhan sedangkan sebelum ini dia menjadi antara tonggak penting musim cemerlang Kuching City.

Bagaimanapun, Aidil Sharin tidak mahu menyalahkan Ramadhan dan menganggap pasukannya sudah memberikan tentangan sengit sebelum terpaksa berpuas hati dengan pencapaian selaku naib juara.

“Saya tidak mahu menyalahkan Ramadhan kerana penalti sentiasa 50-50. Pemain terbaik dan pemain bertaraf dunia pun ada yang terlepas penalti. Namun alangkah bagus jika kami mendapat gol itu dan saya percaya perlawanan akan menjadi berbeza. Kami mendapat penalti, satu peluang yang baik terutama berdepan pasukan seperti JDT.

“Pemain saya adalah manusia, mereka pasti akan berasa kecewa. Mereka (JDT) mengambil peluang dan menjaringkan gol. Jadi inilah bola sepak dan kalah di perlawanan akhir pasti mengecewakan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Aksi di hadapan lebih 50,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, menyaksikan JDT melakar sejarah muncul juara buat kali keempat berturut-turut dengan menewaskan Kuching City 2-0, menerusi jaringan Marcos Guilherme dan Arif Aiman Hanapi.

Perlawanan terikat tanpa jaringan sehinggalah ke 10 minit terakhir apabila Marcos membuka jaringan setelah menyudahkan hantaran daripada Oscar Arribas pada minit ke-80 sebelum Arif Aiman melengkapkan kemenangan menerusi rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Haziq Nadzli.

Gambar ehsan: BH Sukan

RELATED ARTICLES

Most Popular