Pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi menyifatkan kepulangannya ke kancah bola sepak kompetitif sebagai satu momen yang cukup bermakna selepas melalui tempoh sukar selama enam bulan akibat kecederaan hamstring.
Pemain berusia 24 tahun itu masuk menggantikan Feroz Baharuddin pada minit ke-65 sebelum meledak gol kedua untuk membantu JDT menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Kuching City 2-0 dalam aksi final pada Sabtu.
Meskipun beraksi cuma kira-kira 30 minit, impak dibawanya sudah cukup untuk dia dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
“Pastinya ia satu comeback yang cukup bermakna selepas enam bulan tersisih daripada permainan. Saya banyak bergelut sepanjang proses pemulihan, namun saya perlu berterima kasih kepada JDT kerana membantu saya kembali beraksi.
“Dalam tempoh tiga minggu pertama selepas pembedahan, saya berasa tidak selesa dan ada kalanya merasakan sukar untuk kembali semula. Bagaimanapun, semua dalam pasukan sentiasa memberi sokongan dan motivasi kepada saya,” kata tonggak skuad kebangsaan itu.
Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz turut memuji impak luar biasa Arif Aiman yang menurutnya menjadi ‘game-changer’ di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Bayangkan jika kami memilikinya sepanjang musim ini. Selepas enam bulan tidak beraksi, dia mempamerkan persembahan yang menakjubkan hari ini. Dia adalah pemain terbaik kami dan saya tidak sabar untuk melihat aksinya dengan lebih banyak musim depan.”
Munoz mengakui aksi final menentang Kuching City bukan sesuatu yang mudah memandangkan lawan tampil cukup tersusun dari segi pertahanan, namun tetap memuji pencapaian bersejarah pasukannya musim ini.
“Saya fikir kemenangan 2-0 sudah cukup baik. Lebih penting, kami mencipta sejarah dengan mempertahankan keempat-empat kejuaraan domestik buat kali keempat berturut-turut.
“Secara keseluruhan, kami mengharungi musim yang hebat… kami mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia buat kali pertama. Namun, kami sedikit tidak bernasib baik dalam Kejuaraan Kelab ASEAN. Kami akan kembali dengan lebih kuat musim depan.”



