HomeSukanPintu Harimau Malaya Sudah Tertutup Buat 7 Pemain 'Warisan Palsu'

Pintu Harimau Malaya Sudah Tertutup Buat 7 Pemain ‘Warisan Palsu’

Selamat tinggal Harimau Malaya. Perit tetapi itulah yang perlu diterima, tiada lagi kelibat tujuh pemain warisan palsu dalam skuad kebangsaan selepas ini.

Meskipun kembali dari penggantungan 12 bulan nanti, sudah tiada tempat buat Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Joao Figueireido, Jon Irazabal dan Imanol Machuca dalam skuad kebangsaan.

Masing-masing sudah hilang kelayakan untuk menyarung jersi negara, setelah dakwaan pemalsuan dokumen untuk mendapat pasport Malaysia ke atas mereka dibuktikan di Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS). Pemain-pemain ini disahkan tiada darah Malaysia.

Kalau ada yang merindu mahu saksikan kelibat mereka dalam jersi Harimau Malaya sekali lagi, hanya ada satu cara – main di Liga Malaysia selama lima tahun dan tunggu dinaturalisasikan pada 2031.

“Pemain-pemain ini tidak layak untuk mewakili Malaysia walaupun selesai menjalani penggantungan selama 12 bulan. Mereka kekal tiada darah Malaysia. Ayat mudahnya memang berlaku pemalsuan dokumen.

“Apa-apa hujahan untuk menyatakan bahawa tidak berlakunya pemalsuan adalah ditolak. Mereka sudahpun kalah dalam membuktikan mereka ada darah campuran. Tetapi masih boleh mewakili Malaysia jika berada di sini selama lima tahun menerusi proses naturalisasi,” kata peguam sukan, Nik Erman Nik Roseli kepada BH Sukan.

Jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski sebelum ini menggunakan khidmat tujuh pemain warisan palsu itu ketika menentang Nepal dan Vietnam dalam saingan kelayakan Piala Asia 2027.

Harimau Malaya mencatat kemenangan penting dalam dua perlawanan itu dan kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam menjadi titik tolak kepada bermulanya siasatan FIFA terhadap tujuh pemain tersebut.

Kini keputusan kedua-dua perlawanan itu berisiko untuk dibatalkan – hanya menanti apakah tindakan lanjut oleh Jawatankuasa Tatatertib AFC – lantas bakal menjadi tamparan hebat buat kem negara.

Jika hilang enam mata, Malaysia yang ketika ini memimpin Kumpulan F dengan rekod sempurna menang semua lima perlawanan, akan jatuh ke tangga kedua di belakang Vietnam. Hanya juara kumpulan yang akan layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.

RELATED ARTICLES

Most Popular