Kenapa nama Tunku Ismail Sultan Ibrahim seringkali dipetik dan terpalit dalam kontroversi pemain warisan. Sejauh mana pembabitan beliau?
“Salahkan saya jika itu boleh buatkan anda tidur lena” – kata-kata Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu sidang media tidak lama dulu, ketika beliau berterusan dikaitkan sebagai dalang kontroversi pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.
Tunku Ismail ketika itu menegaskan, beliau sudah 13 tahun dipersalahkan dan menjadi kambing hitam dalam segala bentuk masalah yang melanda bolasepak tanah air. Justeru beliau sedia menerima dengan terbuka jika penyokong mahukannya bertanggungjawab dalam isu pemain warisan.
Rujukan: TMJ Offers To Be Scapegoat in FIFA Scandal
Kini, keputusan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) sudah dengan jelas membuktikan tujuh pemain berkenaan bersalah secara tidak langsung apabila mengekalkan penggantungan 12 bulan dikenakan FIFA ke atas mereka.
FAM pula didapati bersalah atas kegagalan penyeliaan dan pentadbiran dalam hal berkenaan, tetapi nama TMJ terus diungkit.
Seorang pengguna di aplikasi X menulis: “TMJ kena bertanggungjawab atas kepalsuan ini, kami tak lupa. Nak bagi alasan isu dalaman takkanlah akaun X kena hack dengan hacker untuk bagitahu dah jumpa pemain warisan. Ni bukan kes 1MDB Najib yang sah mahkamah tak boleh terima akal alasan beliau.”
TMJ bagaimanapun dengan tenang sekali lagi mengulangi pendirian itu, terbaru, menyatakan kesediaan untuk diheret ke mahkamah dan dihukum undang-undang sekiranya ada yang dapat membuktikan penglibatannya dalam kemelut tersebut.
“Setuju! Saya ada cadangan yang lebih baik. Beramai-ramai bawa saya ke mahkamah dengan apa sahaja bukti yang ada. Please,” katanya.
CAS dalam kenyataan mereka pada Khamis menyatakan FAM pada 2025 menghubungi tujuh pemain – Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal, Hector Hevel – dan memaklumkan mereka boleh mendapatkan kewarganegaraan Malaysia secara sah untuk beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Kesemua pemain kemudian menjalani proses naturalisasi sebelum diberikan pasport Malaysia. Namun pada 25 September 2025, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM dan pemain terbabit melanggar Kod Tatatertib FIFA (FDC) selepas menggunakan dokumen palsu dalam proses naturalisasi dan kelayakan walaupun tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.
“Keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November 2025 yang turut mengesahkan denda CHF350,000 ke atas FAM selain setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,400) serta penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak,” kata kenyataan itu.
FAM dan pemain terbabit kemudian memfailkan rayuan gabungan kepada CAS pada 5 Disember 2025.
“Dalam rayuan itu, FAM mengakui wujud kekurangan dari segi institusi namun menegaskan pemain hanya memainkan peranan terhad dalam menyediakan dokumen yang diminta dan tidak terbabit secara langsung dalam penyediaan atau pengubahsuaian dokumen berkenaan.
“Rayuan FAM turut memohon supaya keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA diketepikan dan denda dikenakan dikurangkan kepada tidak melebihi CHF50,000.
“Sementara itu, rayuan oleh pemain pula memohon agar keputusan berkenaan dibatalkan sepenuhnya atau sekurang-kurangnya hukuman dikurangkan kerana mereka tidak bertindak dengan niat atau kecuaian.
“Kes itu kemudian didengar oleh Panel Timbang Tara CAS yang dipengerusikan Lars Hilliger dari Denmark bersama dua ahli panel iaitu Jose Luis Andrade dari Portugal dan Massimo Coccia dari Itali.
“Perbicaraan secara bersemuka berlangsung pada 26 Februari 2026 di ibu pejabat CAS di Lausanne, Switzerland,” katanya.
Selepas meneliti semua bukti, panel CAS memutuskan kesalahan memalsukan dokumen kelayakan memang berlaku dan hukuman penggantungan 12 bulan daripada bermain perlawanan adalah wajar serta setimpal.



