Personaliti media sosial terkemuka dari Amerika Syarikat, Sneako baru-baru ini telah berpeluang melawat Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam.
Sneako secara santai telah merakam beberapa klip sesi latihan skuad Harimau Selatan, dan salah satu klip yang dimuatnaiknya menunjukkan kelibat pemain warisan yang digantung FIFA, Gabriel Palmero turut menjalani latihan bersama juara Liga Super 12 kali berturut-turut itu.
Gabriel Palmero yang berdarah Malaysia melalui neneknya yang dia sendiri tidak pasti dilahirkan di mana, sebelum ini telah dihukum penggantungan 12 bulan daripada aktiviti bolasepak atas dakwaan pemalsuan dokumen untuk mendapatkan kerakyatan.
Namun, ketika hukuman tersebut ditangguhkan ditangguhkan sementara menanti rayuan di Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS), dia telah menyertai Kuching City, sempat beraksi dalam beberapa perlawanan dan menjaringkan satu gol.
Bagaimanapun selepas CAS menolak rayuan yang dikemukakan dan mengekalkan hukuman penggantungan dijatuhkan FIFA, pemain itu dibenarkan terlibat dalam aktiviti bolasepak namun tidak boleh terlibat dalam perlawanan rasmi.
Justeru itu, Palmero dan Kuching City telah mencapai persetujuan penamatan kontrak secara bersama pada bulan Mac lalu. Penampakkan kelibat pemain berusia 24 tahun itu di Padang Seri Gelam, menguatkan desas-desus dia akan menjadi rekrut terbaru JDT tidak lama lagi.
Apatah lagi, pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri memberi bayangan bahawa baginda tidak akan berhenti daripada menjadikan JDT pasukan yang lebih kuat musim depan.
Sekiranya menjadi kenyataan, Palmero akan menjadi pemain warisan palsu keempat menyertai JDT selepas Joao Figueireido, Jon Irazabal dan Hector Hevel. Tiga lagi pemain iaitu Facundo Garces, Imanol Machuca dan Rodrigo Holgado buat masa ini masih berkontrak dengan pasukan di luar negara.



