Personaliti media sosial dan dermawan popular dari Amerika Syarikat, Sneako telah berada di Malaysia sejak beberapa hari lalu.
Selain berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dia turut meluangkan masa melawat tempat-tempat ikonik termasuklah Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri dan Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam.
Sneako, yang mempunyai lebih 100 juta tontonan di YouTube, kemudiannya berkesempatan duduk semeja bersama Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik JDT berbicara mengenai pelbagai topik isu-isu semasa.
Dalam perbualan itu, Sneako berkongsi pandangan mengenai penggunaan retorik dan naratif berunsur “kita lawan mereka” di pentas politik global untuk mempengaruhi pemikiran rakyat, meraih sokongan dan membentuk gerakan populis.
TMJ menyambut pandangan itu, dengan menyatakan pendekatan seperti itu tidak asing malah sering digunakan dalam sukan tempatan.
“Ia memang berkesan. Dari sudut politik, orang gunakan cara ini dalam sukan juga. Orang gunakan dalam sukan. Malah di sini di Malaysia pun digunakan. Tak perlu tengok di peringkat antarabangsa.
“Contohnya, sikap 𝙥𝙡𝙖𝙮 𝙫𝙞𝙘𝙩𝙞𝙢. Cuba gambarkan seolah-olah ada kuasa besar lain, bahawa anda sedang diserang, bahawa ada entiti lebih besar yang menindas sukan tersebut sehingga kita tidak boleh menang.
“Daripada mengaku bahawa kita tidak menang kerana kita tidak cukup bagus. Atau kita tidak menang kerana kita tidak merancang untuk menang. Atau tidak merancang dengan baik dari segi struktur sukan atau apa-apa projek sekalipun.
“Sepatutnya, mereka jadi lebih terbuka dengan penyokong. Tetapi mereka cuba melindungi diri atau menyembunyikan hakikat. Pada pandangan saya, apabila anda gagal merancang dengan baik, anda tidak akan mendapat keputusan yang baik, bukan?
“Salah satu cara untuk menutup kegagalan itu adalah dengan mengatakan, “oh, ini tidak adil kerana pasukan itu lebih kuat” ataupun “ada entiti besar yang mengawal semua ini.” Jadi sebab itu kita tidak menang.
“Apabila mereka 𝙥𝙡𝙖𝙮 𝙫𝙞𝙘𝙩𝙞𝙢, mereka akan mendapat sokongan peminat:
“Ya, betul. Pengadil tidak menyebelahi kita.”
“Ya, betul. Persatuan bola sepak tidak menyebelahi kita.”
“Atau liga tidak menyebelahi kita.”
“Ya, kita mangsa. Kita perlu bersatu.”
“Itulah satu-satunya cara mereka boleh mengumpulkan sokongan. Itulah satu-satunya cara mereka boleh mendapatkan penyokong di pihak mereka.
“Tetapi realitinya, individu yang mengendalikan organisasi tersebut sebenarnya tidak cukup bagus. Dan mereka memainkan sentimen ini. Disebabkan sesetengah pihak tidak cukup berfikir secara rasional, mereka lebih mengikut emosi.
“Mereka tidak berfikir secara logik dan bertanya: “Apa sebenarnya masalah pasukan kita?”; “Kenapa kita tidak menang?”; atau “Mungkin pasukan lawan memang lebih baik.”
“Dan itu sahaja. Anda hanya perlu menerima hakikat itu dan cuba lakukan yang terbaik,” tegas TMJ.
Analogi yang diberikan oleh TMJ itu dipersetujui Sneako dan menjadi peringatan bahawa kejayaan tidak datang daripada alasan, tetapi daripada perancangan dan kejujuran menilai kelemahan sendiri.



