Meskipun seringkali menukar ketua jurulatih dan sehingga kini tidak berjaya memenangi sebarang trofi, Selangor tidak menganggap ia sebagai tanda kegagalan pengurusan.
Red Giants telah membawa masuk tujuh jurulatih berbeza dalam tempoh sembilan tahun, dan ia kerap menjadi sasaran kritikan penyokong dan pemerhati bolasepak.
Kim Pan-gon yang sedang memimpin pasukan itu ketika ini, merupakan jurulatih ketujuh kelab itu sejak 2018 – beliau hadir selepas pemergian Katsuhito Kinoshi (2024-2025); Nidzam Jamil (Mac 2024 – Oktober 2024); Tan Cheng Hoe (2022-2024); Michael Feichtenbeiner (2021-2022); Karsten Neitzel (2020-2021); dan mendiang B.Sathianathan (2018-2020).
Namun, menurut CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon: “Untuk mengaitkan ia dengan ketidakstabilan pengurusan adalah persepsi yang kurang tepat.
“Tan Cheng Hoe meninggalkan pasukan atas kehendaknya sendiri ketika kami berada dalam prestasi yang sangat baik. Nidzam pula meletakkan jawatan ketika kami berada di tempat kedua (Liga Super). Itu bukan keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan.
“Jika dilihat daripada enam atau tujuh jurulatih tersebut, hanya sekitar tiga yang ditukar kerana kami perlu memperbaiki keputusan. Selebihnya berlaku disebabkan faktor lain di luar kawalan,” katanya kepada Timesport.
Johan turut menegaskan bahawa prestasi Selangor dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini berada pada landasan yang positif, sekaligus bercanggah dengan tanggapan bahawa pasukan itu tidak konsisten.
“Walaupun berlaku perubahan tersebut, prestasi kami kekal konsisten. Dua kali layak ke Asia (Liga Juara-Juara Asia 2). Musim ini juga belum berakhir, kami masih berada di separuh akhir Kejohanan Kelab ASEAN, dan masih bersaing untuk tempat kedua Liga Super,” kata Johan.



