HomeSukanUsah Bersandiwara, Jangan Memperbodohkan Penyokong

Usah Bersandiwara, Jangan Memperbodohkan Penyokong

Barisan exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta supaya tidak bersandiwara sekiranya mereka membuat keputusan meletak jawatan beramai-ramai.

Menurut pemerhati bolasepak tanah air, menegaskan jika betul keputusan itu dibuat, ia haruslah secara sukarela dan berasaskan tanggungjawab kolektif dan bukan sekadar ‘wayang’ untuk meredakan tekanan – khususnya daripada FIFA dan AFC.

Beliau bimbang jika peletakan jawatan yang dibuat hanya sekadar formaliti dan kemudiannya ‘muka sama’ kembali bertanding sekaligus dipilih semula pada kongres pemilihan yang akan datang.

“Kita faham bahawa bukan semua orang bersalah. Tetapi kegagalan dalam sesuatu organisasi itu perlu dipikul bersama. Itulah makna kepemimpinan yang berjiwa besar.

“Tetapi kalau mereka meletak jawatan tetapi bertanding semula dan menang, ini adalah satu sandiwara. Tidak mustahil perkara seperti ini boleh terjadi nanti.

“Janganlah memperbodohkan penyokong bola sepak tempatan kalau ini yang berlaku nanti. Jadi macam lagu Wal Hasil Balik Asal sahaja.

“Kita pun takut kalau sandiwara ini nanti mendapat perhatian daripada FIFA dan AFC pula. Kita harus ingat kalau mereka mahu jatuhkan hukuman, hukuman tetap akan datang,” kata Pekan sepertimana dipetik daripada BH Sukan.

Justeru, Pekan menggesa supaya ahli gabungan supaya lebih berani dan memilih calon yang berintegriti sekiranya pemilihan besar-besaran terpaksa dilakukan pada kongres yang dijadual berlangsung bulan depan.

“Ahli gabungan perlu memilih calon yang ada integriti, bukan calon angguk-angguk atau hipokrit. Kalau betul mengambil keputusan untuk meletak jawatan, biarlah kerana prinsip dan bukan kerana ada percaturan tertentu.

“Pilihlah calon yang betul-betul kerana ini peluang untuk kita memperbetul semula hala tuju FAM dan memperbaiki bola sepak kita yang sudah terpalit dengan pelbagai isu tidak diingini,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular