Hanya ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan menentukan Presiden baru badan induk itu, dan bukannya atas restu mana-mana pihak, termasuk Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).
Demikian tegas Presiden Malaysia Football League (MFL) Dato’ Abd Ghani Hassan yang berpendapat kenyataan dibuat bekas Pemangku Presiden FAM, Dato’ Muhammad Yusoff Mahadi sebagai agak janggal dan tidak langsung menggambarkan situasi sebenar.
“Nampaknya politik untuk pemilihan Exco FAM sudah pun bermula. Mungkin beliau cuba memberi mesej atau memainkan naratif kepada semua yang memilih bahawa dia yang juga bekas pemangku presiden sudah mendapat restu sebelum ini. Saya percaya ‘restu’ terbabit tiada,” kata Ab Ghani dipetik dari laporan BH Sukan.
“Pandangan beliau adalah pandangan peribadinya dan tidak melambangkan situasi sebenar dalam FAM yang pada masa ini tidak mempunyai sebarang lantikan Ahli Jawatankuasa Eksekutif,” tembah Abd Ghani lagi.
Abd Ghani yang turut pernah dikaitkan sebagai calon Presiden FAM, bagaimanapun menegaskan bola sepak Malaysia memerlukan seorang presiden yang mampu bekerjasama dengan semua pemegang taruh dalam ekosistem sukan itu, termasuklah TMJ yang merupakan tunjang kepada kelab terbesar di Malaysia.
Terdahulu, beberapa media tempatan melaporkan Yusoff berkata Tunku Ismail adalah calon paling tepat menerajui FAM namun jika beliau tidak mahu memegang jawatan itu, maka Presiden FAM wajar dipilih dalam kalangan individu yang mendapat sokongan serta restu daripada baginda.
Kenyataan itu bukan sahaja disifatkan sebagai kontroversi, tetapi berbahaya kepada badan induk itu sendiri. Yusoff diibaratkan membuka pekung dan mengesahkan bahawa wujudnya ‘tokong’ dalam ekosistem bolasepak tanah air bukan lagi sekadar andaian, tetapi satu realiti.



