Penyokong Sri Pahang kini sudah ada ‘kesayangan’ baru di dalam pasukan dalam kelibat dua pemain muda Saiful Jamaluddin dan Ibrahim Manusi.
Bukan mudah untuk jurulatih old-school seperti Fandi Ahmad menaruh kepercayaan kepada pemain muda, lazimnya pemain berpengalaman yang sentiasa diberikan peluang dan kepercayaan.
Tetapi ia jelas berbeza dalam kes Saiful dan Ibrahim (Baim), kedua-keduanya kini boleh dikatakan aset penting skuad Tok Gajah terutamanya kerana komitmen lebih 100 peratus dalam setiap perlawanan, disiplin serta ketenangan yang ditunjukkan.
Baca Juga: Kalah Tak Apa Tapi Bertandinglah Secara Adil – Fandi Ahmad
Perkara ini diakui sendiri oleh Fandi sendiri yang menyifatkan masing-masing menunjukkan karakter yang mengagumkan di atas padang sekaligus memberikannya lebih banyak pilihan untuk dipertaruhkan.
“Mental mereka bagus dan sebab itu saya menyenaraikan mereka dalam kesebelasan utama. Dua pemain ini sangat luar biasa terutama sejak pusingan pertama Piala Malaysia ketika kita menentang Selangor (pusingan kedua) dan Perak pada aksi suku akhir.
“Mereka membuktikan dan setakat ini bermain dengan bagus untuk membantu pasukan melangkah lebih jauh terutama dalam saingan Malaysia,” katanya.
Untuk makluman, Saiful, berusia 23 tahun, adalah kapten skuad Piala MFL Sri Pahang, dan telah berada sebagai fringe player di dalam skuad utama Tok Gajah sejak beberapa musim lalu.
Pemain skuad B-23 kebangsaan ini pernah mencuri tumpuan pada 2022 apabila menjaringkan gol di Stadium Sultan Ibrahim ketika Sri Pahang mengikat JDT 2-2 dalam aksi Liga Super.
Kecederaan dialami Nor Azam Azih jelas membawa tuah kepada pemain tengah ini untuk mendapat lebih banyak peluang dan dia berjaya membalas kepercayaan diberikan dengan cukup baik.
Manakala Baim pula, juga berusia 23 tahun, pemain pertahanan tinggi lampai yang turut mendapat lebih banyak peluang musim ini ekoran kecederaan dialami Stefano Brundo. Pemain yang menjadi jantung di bahagian defensif tetapi bermain seperti tiada jantung.
Dua pemain ini pastinya nama wajib yang perlu berada dalam senarai watch-list barisan kejurulatihan baru skuad kebangsaan, diketuai Peter Cklamovski. Apatah lagi, pengendali itu sendiri memberitahu siapa sahaja pemain mempunyai peluang sama rata untuk menyarung jersi kebangsaan.
Kredit juga perlu diberikan kepada Yazeed Hamzah dan barisan kejurulatihan Piala MFL Sri Pahang, kerana berjaya menggilap dan mengetengahkan pemain-pemain muda yang berkualiti dan berpotensi besar.
Malah lebih ramai sedang dipersiapkan untuk memecah masuk ke skuad utama antaranya Airiel Zafran dan Lokman Bah Din, hanya menunggu masa yang sesuai.