Ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski menarik nafas lega selepas melihat dua pemain utama, Matthew Davies dan Faisal Halim kembali menjalani latihan.
Kedua-duanya sebelum ini diketepikan akibat kecederaan lutut dan pangkal paha, sekaligus menimbulkan keraguan tentang peluang mereka untuk beraksi dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F menentang Nepal pada Selasa di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Namun Cklamovski berkata beliau berasa lega melihat kedua-dua pemain itu meningkatkan intensiti latihan mereka secara berperingkat.
“Bagus melihat Matthew kembali bersama skuad. Dia seorang ketua yang hebat untuk pasukan,” kata jurulatih dari Australia itu.
“Memiliki dia kembali bersama kami sangat menggembirakan. Buat masa ini, dia menjalani latihan terhad bersama pasukan perubatan, tetapi perancangannya adalah untuk meningkatkan latihannya setiap hari dan memasukkannya ke latihan penuh sebelum perlawanan menentang Nepal. Ia proses hari demi hari.”
Matthew kali terakhir beraksi untuk Harimau Malaya ketika kemenangan 4-0 ke atas Vietnam pada Julai.
Bagi Faisal pula, Cklamovski berkata pemain sayap itu juga menunjukkan perkembangan positif. Pemain Selangor itu pada bulan lalu meledak jaringan pertamanya dalam jersi Harimau Malaya selepas hampir 2 tahun (625 hari) ketika menentang Laos.
Sebagai makluman, Harimau Malaya membawa misi mengekalkan momentum cemerlang selepas mencatat kemenangan dalam semua empat perlawanan sebelum ini, sekaligus mengungguli Kumpulan F dengan 12 mata.
Selain persiapan fizikal, pasukan turut menilai prestasi lawan melalui analisis video untuk memperbaiki tahap permainan, bagi memastikan misi meraih tiga mata menentang Nepal berjaya direalisasikan.



