HomeSukanSukan SEA: Nafuzi Ubah Sasaran Selepas Lolos Ke Semifinal

Sukan SEA: Nafuzi Ubah Sasaran Selepas Lolos Ke Semifinal

Setelah berjaya mengesahkan tempat di separuh akhir saingan bolasepak Sukan SEA 2025 yang sedang berlangsung di Thailand, skuad negara kini seolah mendapat suntikan baharu.

Meskipun tiket ke kelompok empat terakhir boleh dikatakan ‘tiket nasib’ berikutan kegagalan Indonesia memintas kedudukan naib juara terbaik, ia tetap satu pencapaian yang melegakan Nafuzi Zain.

“Kita datang ke sini dengan sasaran untuk ke separuh akhir. Kita mengharungi kempen yang penuh tekanan dan cabaran sejak dari perlawanan pertama (menentang Laos), akhirnya kita tetap berjaya melakukanya dan ini satu nikmat yang sangat bermakna,” ujar pengendali kelahiran Kelantan itu.

Daripada enam edisi terdahulu sejak 2015, ini adalah kali ketiga Malaysia menjejak kaki ke separuh akhir. Kali terakhir adalah pada edisi 2021 sekaligus menoktahkan penantian empat tahun.

Namun, untuk mengulangi pencapaian mara ke final sepertimana di edisi 2017, ia umpama misi hampir mustahil. Bagaimanapun ia tidak menghalang Nafuzi meletakkan sasaran tinggi menggunung.

“Sekarang sasaran adalah final dan pingat. Sudah tentu emas. Kita cuma tinggal satu langkah lagi dan kami akan beri segala-galanya untuk itu.

“Thailand pasukan kuat, terutama bila beraksi di laman sendiri. Ia bukan perlawanan mudah. Pemain kena memberikan segalanya. Kami sudah belajar daripada pertemuan sebelum ini, terutama kesilapan yang kami lakukan,” kata Nafuzi.

Perkembangan penting menjelang separuh akhir ialah kembalinya penyerang Haqimi Azim Rosli, di mana ketiadaannya ketika menentang Vietnam cukup dirasai ketika menentang Vietnam tempoh hari.

“Ada pemain cedera, ada digantung. Isu-isu ini memang dah jadi rutin untuk kami, kecederaan, penggantungan, pilihan yang terhad. Sampai ke separuh akhir pun kami masih berdepan situasi yang sama.

“Begitupun, bila layak dengan mengatasi semua kekangan ini, ada kemanisannya. Apapun, esok (Ahad) kami akan nilai siapa yang benar-benar pulih dan boleh berdepan Thailand. Tapi untuk Haqimi, kami jangka dia kembali menyertai persiapan separuh akhir,” tambah Nafuzi.

Untuk rekod, dalam pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan di Kelayakan Piala Asia B-23 pada September lalu, Thailand menang dengan keputusan 2-1. Keputusan itu juga sekaligus menyaksikan Malaysia gagal layak ke Piala Asia B-23 pada tahun depan.

RELATED ARTICLES

Most Popular