Pemain warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk bersara sepenuhnya daripada bola sepak, oleh media antarabangsa Bambino Quintero.
Ini susulan penggantungan 12 bulan yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dikenakan ke atas pemain berusia 30 tahun itu sejak September lalu, yang bukan sahaja menjejaskan dengan teruk kerjaya bolasepaknya.
Holgado antara tujuh pemain warisan yang dikenakan penggantungan 12 bulan atas dakwaan pemalsuan dokumen sewaktu proses untuk mewakili skuad kebangsaan.
Dia ketika ini dikhabarkan masih bersama kelab Colombia, America de Cali, tetapi tidak menerima gaji sepanjang penggantungannya.
“Rodrigo Holgado yang digantung FIFA sehingga September depan kerana pemalsuan dokumen ketika panggilan mewakili Malaysia, mempertimbangkan secara serius untuk bersara daripada bolasepak profesional. Dia masih bersama #America namun tidak bergaji,” lapor Bambino.
Untuk rekod, pemain berdarah Argentina-Malaysia itu menjaringkan satu gol sepanjang mewakili Malaysia, ketika menewaskan Vietnam 4-0. Itu lah perlawanan yang kemudian menjadi asbab kepada siasatan pemalsuan dokumen.
Sebelum ini, tujuh pemain – Gabriel Palmero, Facundo Garces, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Rodrigo – dikenakan denda RM10,560 dan digantung 12 bulan oleh FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Bukan sahaja tujuh pemain terbabit malah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dikenakan denda sebanyak RM1.8 juta.
Situasi ini menyaksikan FAM membawa kes itu kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai langkah terakhir bagi melengkapkan prosedur perundangan.
Namun, FAM kemudiannya dikenakan hukuman ‘tambahan’ daripada FIFA selepas badan induk antarabangsa itu membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan yang diharungi skuad Harimau Malaya dan memberikan kekalahan 0-3.



