HomeSukanSultan Pahang Calon Terbaik Terajui FAM - Lim Teong Kim

Sultan Pahang Calon Terbaik Terajui FAM – Lim Teong Kim

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah disifatkan sebagai calon terbaik untuk menerajui pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan mengembalikan maruah bolasepak tanah air yang dicalar teruk isu pemalsuan dokumen.

Cadangan itu disuarakan bekas pemain kebangsaan, Lim Teong Kim dalam satu laporan disiarkan oleh Astro Arena.

“Ini bukan tentang gelaran atau kuasa, ini adalah tentang menyelamatkan sukan ini. Apa yang diperlukan ketika ini ialah kewibawaan, bukannya alasan.

“Anda tidak boleh memperbaiki rumah yang rosak dengan cat. Anda perlu perbaiki strukturnya,” kata Teong Kim yang pernah mengemudi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Tambahnya, “Al-Sultan Abdullah mengenali peraturan bola sepak dunia, Baginda memahami bagaimana keputusan dinilai di peringkat antarabangsa, bukan sekadar di peringkat tempatan.

“Baginda tidak berselindung apabila sesuatu perkara menjadi serba tidak betul. Baginda mendengar, Baginda bertindak dan Baginda bertanggungjawab.”

Pandangan sama turut dikongsi seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar.

Menurutnya, segala isu yang sedang melanda bola sepak negara ketika ini memerlukan kewibawaan Al-Sultan Abdullah untuk mengembalikan FAM di tempat yang sepatutnya.

“Sudah tiba masanya kita sedar bahawa FAM perlu diterajui oleh seseorang yang sangat berpengalaman dan berwibawa.

“Pada pandangan saya, Tuanku Sultan Pahang — saya harapkan dapat kembali semula ke pangkuan FAM untuk membantu dan rakyat dapat kembali bergembira dan menyemarakkan bola sepak Malaysia.

“Walaupun kita sedar untuk layak ke Piala Dunia merupakan satu perkara yang paling jauh, sekurang-kurangnya kita menginginkan kerancakan dan kemeriahan seperti dulu.

“Tidak apalah kita menjadi juara kampung sekalipun, rakyat perlu gembira untuk ke stadium beramai-ramai bagi menyokong pasukan mereka.”

Minggu lalu, barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bertindak meletakkan jawatan beramai-ramai susulan skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.

Keputusan itu dibuat atas dasar tanggungjawab kolektif untuk menyelamatkan bolasepak tanah air dan keperluan untuk melindungi integriti FAM, susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.

Ia secara tidak langsung bagi mengurangkan risiko lebih buruk terhadap FAM, dalam masa sama memulihkan semula keyakinan dan kepercayaan penyokong.

RELATED ARTICLES

Most Popular