HomeSukanHanya Makan Kurma, Safawi Buat Josue Tergamam

Hanya Makan Kurma, Safawi Buat Josue Tergamam

Safawi Rasid nampaknya sedang menikmati antara musim paling produktifnya ketika ini, selepas tenggelam sejak beberapa tahun kebelakangan.

Dia dilihat sudah kembali menemui sentuhan jaringan berbisa, dan pada minggu lalu menambah dua gol ke dalam koleksi peribadi ketika KL City membenam Brunei dalam aksi pertama di bulan Ramadan.

Puasa jelas tidak memperlahankan rentak Safawi yang membiarkan kepalanya berbicara apabila menjaringkan gol menerusi tandukan pada minit ke-9 dan ke-18 sekaligus mendahului carta penjaring tempatan terbanyak dengan 10 gol dalam 17 perlawanan.

Safawi mengatasi cabaran fizikal Ramadhan untuk kekal berada di prestasi terbaik dan menariknya, pemain yang dipinjamkan dari JDT itu mendedahkan dia hanya makan beberapa biji kurma ketika berbuka.

“Saya hanya makan beberapa biji kurma sebelum perlawanan, hanya selepas perlawanan saya mengambil makanan berat. Setiap musim kita melalui perkara ini (latihan dan perlawanan di bulan Ramadhan) jadi kenalah sesuaikan diri,” katanya yang turut menjaringkan satu gol dalam saingan Piala Malaysia.

Sentuhan jaringan, kualiti permainan dan cepat serasi dengan rakan gandingan menjadikan pemain sayap berusia 28 tahun ini bukan sahaja senjata utama barisan depan KL City tetapi juga menawarkan pilihan dan perkembangan positif buat Harimau Malaya.

Prestasi semasa Safawi tidak terlepas daripada mendapat pujian kapten KL City, Paolo Josue: “Pawi adalah pemain terbaik kami ketika ini. Dia melakukan tugasnya dengan cukup baik dan saya cukup berterima kasih dia ada bersama kami di sini. Saya harap dia akan terus menjaringkan gol dan melonjakkan pasukan, dia seorang pemain yang hebat.”

Mr Kuala Lumpur itu turut benar-benar mengagumi tidak hanya Safawi, tetapi pemain-pemain beragama islam lain atas komitmen mereka kepada permainan sepanjang bulan Ramadhan.

“Di bulan Ramadhan ini, saya tidak tahu bagaimana mereka boleh berpuasa sepanjang hari dan masih bermain bolasepak. Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh mengerah tenaga tanpa makan ataupun dengan mencuit hanya sedikit makanan, makan hanya kurma sebelum sepak mula. Saya tabik mereka,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular