Tonggak pertahanan KL City, Giancarlo Gallifuoco tidak berselindung menyatakan dia sudah tidak sabar untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Pemain dari Australia itu disahkan akan dipanggil ke kem kebangsaan bagi aksi berdepan Vietnam pada 31 Mac oleh pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski. Namun buat masa ini Gallifuoco sedang menantikan proses naturalisasinya untuk dilengkapkan.
“Ada banyak perkara lagi yang sedang dalam proses, tapi buat masa ini tiada apa-apa yang muktamad lagi. Jadi, saya perlu menunggu dulu ia selesai. Sudah tentu, jika peluang itu datang (dipanggil mewakili Harimau Malaya), saya berbesar hati untuk menyahut peluang itu,” ujar Gallifuoco yang beraksi di Liga Malaysia sejak 2021.
Baru-baru ini, Cklamovski menyatakan proses permohonan pasport Malaysia bagi Gallifuoco dan Bergson da Silva berjalan lancar dengan kedua-duanya hanya menunggu masa untuk bergelar pemain naturalisasi baru Harimau Malaya dan berpotensi membuat penampilan sulung dalam perlawanan menentang Vietnam.
Berita Berkaitan: “Hampir Pasti Tiada Peluang Buat Arif Aiman”
Selain Bergson dan Gallifuoco, Cklamovski memberitahu bahawa Malaysia akan disertai beberapa lagi pemain naturalisasi seperti Manuel Hidalgo dan Nacho Mendez namun ianya tidak sempat berlaku sebelum perlawanan menentang Vietnam.
Hidalgo dijangka memperoleh pasport Malaysia pada bulan April, manakala Nacho Mendez pula dalam tempoh terdekat yang tidak dapat dipastikan memandangkan statusnya bukan naturalisasi, tetapi pemain warisan.
Untuk makluman, Malaysia telah diperkuatkan ramai pemain naturalisasi sejak penampilan Mohamadou Sumareh pada 2018. Antara pemain lain termasuklah Liridon Krasniqi, Lee Tuck dan Guilherme De Paula. Manakala pemain seperti Sergio Aguero, Endrick Dos Santos, Romel Morales dan Paolo Josue pula adalah pemain dalam skuad semasa.
Jordan Mintah juga dikatakan telah dinaturalisasikan, namun sehingga kini pemain Kuching City itu masih menanti untuk membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya.



