HomeSukanFAM, Indonesia dan Vietnam Kena Denda Dengan AFC

FAM, Indonesia dan Vietnam Kena Denda Dengan AFC

Ketika debaran semakin memuncak menanti keputusan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) berhubung kes tujuh pemain warisan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedikit tersentak apabila dikenakan denda oleh AFC.

Jawatankuasa Tatatertib AFC yang bersidang pada Rabu mengenakan hukuman tersebut susulan kelewatan FAM menghantar permohonan kelulusan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 2 antara Negeri Sembilan dan Timor Leste.

Perlawanan tersebut berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 9 November tahun lalu, dengan pasukan tuan rumah kendalian Nidzam Jamil mencatat kemenangan 2-1 menerusi dua jaringan Luqman Hakim Samsudin.

FAM didapati bersalah melanggar Artikel 11, Peraturan AFC dan dikehendaki membayar USD1,250 (RM4,900) dalam masa 30 hari. Ironinya, ini bukan kali pertama tetapi kali keempat FAM dihukum atas kesalahan sama.

Baca Juga: Sabar Dulu, Belum Muktamad Lagi

Selain FAM, badan induk negara jiran serumpun, Persekutuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI) turut dihukum atas kesalahan berhubung kelewatan menghantar permohonan kelulusan perlawanan persahabatan antarabangsa antara Indonesia B-23 dan Mali B-23.

Ia adalah kesalahan berulang buat kali ketujuh buat PSSI dan mereka didenda sebanyak USD1,500 (RM5,880).

Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) pula lebih teruk, apabila didenda USD1,500 kerana kelakuan tiada semangat kesukanan pemainnya ketika perlawanan akhir Sukan SEA 2025 menentang Thailand, di mana lima pemain mereka dilayangkan kad oleh pengadil.

Selain itu, pemain Vietnam, Nguyen Dinh Bac pula digantung dua perlawanan dan didenda USD 1,000 akibat kad merah yang diterima ketika perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Asia B-23 menentang Korea Selatan.

Memandangkan pemain itu sudah melepasi usia 23 tahun, penggantungannya akan bekuatkuasa bermula perlawanan menentang Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 Mac.

RELATED ARTICLES

Most Popular