Pahang Rangers FC terus mengekalkan kepercayaan kepada kepakaran dari Sepanyol apabila secara rasmi melantik Eloy Alonso Fraile sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan bagi saingan musim 2026.
Pelantikan Alonso, 45, bukan sahaja mengisi kekosongan ditinggalkan oleh rakan senegara, Luis Fonseca, tetapi isyarat jelas daripada pengurusan untuk mengembalikan kualiti Pahang Rangers ke tanda aras yang sepatutnya.
Alonso bukanlah nama asing dalam peta futsal global. Sejak 2022, beliau antara watak utama dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Thailand yang melakar siri pencapaian hebat termasuk melangkah ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2024.
Dalam satu kenyataan rasmi, Pahang Rangers menyuarakan keyakinan penuh terhadap kualiti yang dibawa oleh pengendali kelahiran Sepanyol tersebut:
“Dengan mentaliti elit, kepakaran taktikal serta rekod cemerlang dalam membangunkan pemain berkelas antarabangsa, kelab yakin Eloy Alonso yang turut berpengalaman luas sebagai penjaga gol di Liga Futsal Sepanyol adalah individu tepat untuk memimpin revolusi baharu Pahang Rangers,” menurut kenyataan kelab.
Tumpuan Alonso pastinya bukan semata-mata kepada membaikpulih prestasi dan pencapaian, tetapi turut membangunkan bakat-bakat muda futsal Pahang.
“Pengalaman luas beliau diyakini dapat menyuntik dimensi baharu seterusnya membentuk identiti Pahang Rangers yang lebih ampuh,” tambah kenyataan itu lagi.
Pahang Rangers pada musim lalu mengakhiri saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) di tangga ketiga, sebelum terpaksa berpuas hati dengan pencapaian naib juara Malaysia Futsal Cup susulan kekalahan kepada Selangor.
Salah satu perkara menarik mengenai Alonso adalah latar belakangnya sebagai bekas penjaga gol profesional di Liga Futsal Sepanyol – liga yang dianggap sebagai “kiblat” futsal dunia. Kepakaran “dua dalam satu” ini pastinya memberikan nilai tambah buat Pahang Rangers, terutamanya dalam memperkasa aspek bertahan seterusnya membina serangan dari bawah.
Apatah lagi, rekod defensif pasukan itu agak membimbangkan sejak dua musim lalu dan menjadi pasukan top yang paling banyak melepaskan gol – termasuk 13 gol dalam final MFC tahun lepas.
Alonso dijadualkan memulakan tugas secara rasmi apabila skuad Pahang Rangers memulakan latihan pramusim pada Mac depan.
Mampukah Eloy Alonso mengulangi kejayaan gemilang “Double Winner” 2023 dan mematahkan dominasi JDT dan Selangor? Hanya masa yang akan menentukan, namun satu perkara yang pasti—revolusi hitam putih kini bermula di bawah nakhoda baharu dari Sepanyol ini.



