HomeSukanRob Friend Nampak Ada Sinar Selepas Sesi Pendengaran 12 Jam

Rob Friend Nampak Ada Sinar Selepas Sesi Pendengaran 12 Jam

Pengurusan pasukan bolasepak kebangsaan percaya mereka telah mengemukakan hujah yang kukuh dan meyakinkan dalam sesi pendengaran di Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rob Friend optimis persiapan pasukannya selama beberapa bulan di balik tabir, termasuk dalam aspek perundangan, kini hanya menanti untuk memberikan keputusan yang menggembirakan penyokong bolasepak tanah air.

“Ia minggu yang cukup produktif. Saya tidak boleh katakan banyak, tetapi ia adalah pendengaran cukup panjang selama 12 jam. FIFA mempunyai peguam mereka, begitu juga kita yang turut disertai FIFPRO dan para pemain.

“Berdasarkan hujah dan kedudukan kami ketika ini, saya nampak ada sinar. Kita hanya perlu menunggu, kerana tidak tahu bila keputusan akan keluar. CAS tidak memberikan tempoh masa muktamad, ia boleh jadi beberapa hari, seminggu, dua minggu atau mencecah tiga minggu,” kata Friend kepada TimeSport.

Terdahulu ramai yang menyangka CAS akan mengumumkan keputusan akhir mengenai nasib tujuh pemain warisan iaitu Joao Figueireido, Jon Irazabal, Gabriel Palmero, Hector Hevel, Rodrigo Holgado, Facundo Garces dan Imanol Machuca pada 26 Februari.

Namun, drama dan saga paling kontroversi dalam sejarah bolasepak Malaysia itu, di mana kesemua tujuh pemain didakwa atas pemalsuan dokumen untuk membolehkan mereka menyarung jersi Harimau Malaya masih belum menemui titik noktah.

Masing-masing yang pada awalnya digantung selama 12 bulan sudahpun kembali beraksi, selepas diberikan penangguhan hukuman sementara oleh CAS. Keputusan akhir oleh CAS akan menentukan sama ada hukuman tersebut dikekalkan, dikurangkan atau dibatalkan.

Lebih penting, adakah tujuh pemain itu masih layak mewakili Harimau Malaya. Andai kata rayuan mereka ditolak dan hukuman penggantungan dikekalkan, ini bermaksud pengurusan skuad kebangsaan gagal membuktikan mereka tak buat salah.

RELATED ARTICLES

Most Popular