Pengendali KL City, Risto Vidakovic, meluahkan rasa hairan dengan kehadiran penonton yang begitu rendah ketika menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat.
Hanya kira-kira 1,100 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut, yang merupakan pertemuan kali ketiga antara kedua-dua pasukan dalam tempoh tiga minggu.
“Kami pada asasnya seperti bermain dalam stadium yang hampir kosong dan ia tidak memberi perbezaan besar sama ada bermain di tempat sendiri atau tempat lawan. Saya rasa keadaannya hampir sama.
“Saya tidak tahu kenapa perkara ini berlaku dalam Liga Malaysia, mengapa penyokong tidak datang. Sudah tentu lebih baik jika stadium dipenuhi penonton. Tetapi apa boleh dibuat, inilah hakikatnya.
“Sekarang ini tak dapat rasa tekanan daripada penyokong tuan rumah kerana kehadiran penyokong terlalu sedikit. Bagi saya, bermain di tempat sendiri atau tempat lawan tidak banyak bezanya,” ujar Vidakovic.
Perlawanan itu menyaksikan KL City melakar kemenangan 1-0 menerusi jaringan Madger Gomes membawa kelab itu menyamai rekod tidak tewas sembilan perlawanan di tempat lawan yang pernah dicatatkan antara tahun 1987 hingga 1989.
Kemenangan menyaksikan KL City mengukuhkan kedudukan mereka di kedudukan tiga teratas dengan 36 mata dan bersaing rapat dengan Selangor untuk memburu kedudukan naib juara Liga Super.
“Ini sangat penting kerana kami masih berada di sana, kami terus berjuang dan masih berbaki tujuh perlawanan. Jadi saya rasa perlawanan ini amat penting untuk kami terus kekal dalam perebutan tempat kedua.
“Selepas ini, setiap perlawanan akan menjadi sama — tekanan yang besar dan kami mesti menang. Ia sangat penting untuk keyakinan para pemain dan ini adalah kemenangan besar di sebuah stadium yang sangat sukar,” tambah Vidakovic.



