HomeSukanUteh Jelaskan Sebab Pilih JDT

Uteh Jelaskan Sebab Pilih JDT

Penjaga gol kebangsaan, Zainulzahin Sinuan ternyata tidak dapat menahan sebak meninggalkan Pahang Rangers yang membentuk siapa dirinya pada hari ini, untuk menyertai Johor Darul Takzim.

Zainulzahin atau lebih mesra disapa Uteh, menyertai Akademi Pahang Rangers pada 2018 ketika usianya 18 tahun. Pada 2019 dia dipinjamkan ke KL City manakala pada 2020 dia tersisih kerana kecederaan lutut (kebetulan liga dibatalkan pada 2020 dan 2021 kerana Covid).

Pada 2022, Uteh merupakan penjaga gol pilihan kelima di belakang Victor Espindola, Syafiq Hamzah, Afiq Abd Rahman dan Al-Mustaqim.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah Uteh siapa yang sangka tahun berikutnya dari nombor lima dia menjadi penjaga gol utama Pahang Rangers selepas Espindola kembali ke Brazil, Syafiq berhijrah ke Lembah Klang manakala Afiq dan Al-Mustaqim mengalami kecederaan.

Tahun yang sama itu, Uteh tampil cemerlang, muncul antara tonggak yang membantu Pahang Rangers menjulang kejuaraan berganda. Lebih manis dinobatkan Penjaga Gol Terbaik Kebangsaan dan mendapat panggilan ke kem kebangsaan.

Untuk dua musim berikutnya dia kekal sebagai penjaga gol terbaik dalam negara malah pada Disember lalu membantu skuad Harimau Malaya memenangi pingat gangsa di Sukan SEA Thailand 2025.

Ketika bersama Pahang Rangers, Uteh juga melanjutkan pelajaran di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) sebelum menjalani internship (praktikal) bersama kelab itu di mana dia bertanggungjawab dalam pengurusan acara.

Itu serba sedikit latar belakang karier Uteh, maka tidak hairanlah dia begitu sayangkan Pahang Rangers. Justeru kenapa dia memilih berhijrah, adakah kerana tawaran lumayan yang tak dapat ditolak, Uteh ada penjelasannya.

“Ini bukan keputusan yang mudah, cukup berat hati untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Pahang Rangers yang telah menjadi keluarga saya selama lapan tahun. Sejak awal saya bersama kelab ini, berkhidmat dengan hati yang penuh harapan dan impian, dan saya tak sangka akan dapat pengalaman luar biasa seperti ini.

“Saya akan sentiasa berasa bangga pernah menjadi sebahagian daripada team ini dan tidak akan lupa kenangan indah yang dicipta bersama. Saya tidak akan lupa segala jasa kelab ini kepada diri saya, karier saya.

“Saya harus pergi, keadaan memaksa saya untuk berbuat demikian bagi menimba pengalaman lebih luas dengan JDT selain lebih dekat dengan keluarga.”

Untuk makluman, Uteh yang berusia 26 tahun berasal dari Johor justeru peluang untuk kembali berbakti di negeri kelahiran ternyata peluang yang sangat sukar untuk ditolak.

RELATED ARTICLES

Most Popular