HomeSukanAll England: Pearly-Thinaah Tamatkan Penantian 19 Tahun

All England: Pearly-Thinaah Tamatkan Penantian 19 Tahun

Pasangan beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah, semakin hampir melakar kejayaan bersejarah di Kejohanan All England selepas mudah mara ke separuh akhir pada Jumaat.

Pearly-Thinaah menewaskan pasangan Indonesia yang berada di ranking ke-21 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, 21-9, 21-18 sekaligus menjadi pasangan wanita Malaysia pertama mara ke peringkat ini sejak 2007.

Kemenangan ke atas Febriana-Meilysa turut membantu gandingan sensasi negara itu membalas dendam kekalahan pada pusingan kedua Malaysia Open pada Januari lalu lantas melebarkan rekod pertemuan mereka kepada 5-1.

Untuk rekod, pencapaian melangkah ke separuh akhir kekal sebagai rekod terbaik buat pasangan beregu wanita Malaysia dalam sejarah kejohanan badminton tertua dunia tersebut – kali terakhir dilakukan gandingan Wong Pei Tty-Chin Ee Hui.

Pearly-Thinaah kini berpeluang mencipta sejarah baharu menjadi gandingan beregu wanita pertama mara ke final apabila bakal berdepan pasangan Korea Selatan,Baek Ha Na-Lee So Hee, dalam aksi separuh akhir pada Sabtu.

Namun, laluan ke final sulung bukan mudah apabila mereka bakal dicabar pasangan No. 4 dunia, Ha Na-So Hee, dengan rekod pertemuan antara kedua-dua pasangan ketika ini terikat 3-3.

Pasangan Korea Selatan itu pula tampak berada dalam prestasi terbaik selepas mudah menewaskan gandingan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto, 21-18, 21-7 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Dalam pada itu, gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mengesahkan tempat di separuh akhir selepas membenam gandingan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun dengan keputusan 21-16, 20-22, 21-14.

Mereka akan berdepan pasangan dari China, Chen Boyang-Liu Yi yang mara dengan menyingkirkan seteru dari Indonesia Rian Ardianto-Rahmat Hidayat.

Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking no.2 dunia, kini memburu penampilan ketiga di pentas final All England selepas muncul naib juara pada edisi 2019 dan 2024.

Pasangan Malaysia itu juga boleh mengambil keyakinan daripada rekod pertemuan yang memihak kepada mereka menentang Bo Yang-Liu Yi, apabila memenangi tiga daripada empat pertemuan sebelum ini.

RELATED ARTICLES

Most Popular