Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) nampaknya terus rancak menempelak sesiapa sahaja yang berbicara pasal pemalsuan dokumen pemain warisan.
Jika sebelum ini bekas penolong pengurus Harimau Malaya Dato’ Kamarul Ariffin diserang kerana tanya persiapan menentang Vietnam, kali ini bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia , Datuk Seri Azzuddin Ahmad pula menjadi mangsa.
Ini kerana Azzuddin dalam laporan disiarkan Astro Arena menyifatkan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain Harimau Malaya masih belum selesai sepenuhnya sambil mempersoalkan dalang sebenarnya.
Menurut Azzuddin, hingga kini masih timbul tanda tanya dalam kalangan rakyat Malaysia memandangkan belum ada mana-mana individu disabitkan bersalah ke atas skandal terbesar bola sepak negara itu.
“Peletakan jawatan secara sukarela oleh exco FAM adalah satu tindakan, bahawa mereka bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan. Tapi siapa yang lakukannya? Macam kita masuk pasar raya dan mencuri telur, maka pencuri kena didakwa. Perkara ini masih belum tutup, masih tergantung,” katanya di Nadi Arena.
Azzuddin turut berpandangan taraf kewarganegaraan tujuh pemain tersebut wajar dilucutkan memandangkan mereka bersubahat dalam pemalsuan dokumen.
Beliau turut mempersoalkan asas pemberian taraf kewarganegaraan kepada tujuh individu berkenaan yang dilihat tidak beri manfaat jangka masa panjang kepada negara.
“Apa pengorbanan mereka dalam masa beberapa bulan kepada Malaysia. Adakah untuk bermain bola sepak sahaja, mereka perlu berikan alasan yang kuat untuk menjadi rakyat Malaysia. Pada penghujungnya apa yang dicapai kalau dibandingkan pengorbanan agensi keselamatan yang menjaga kedaulatan negara,” soal Azzuddin.
Bagaimanapun, ia jelas tidak disenangi Tunku Ismail, yang berkata Azzuddin sepatutnya memberi penjelasan tentang perkara-perkara berbangkit dalam arena bolasepak tempatan sejak bertahun lamanya.
“Suruh dia (Azzuddin) jelaskan duit hak siaran TV dan duit penajaan bertahun-tahun yang sepatutnya pergi kepada setiap pasukan yang bertanding pergi mana? Kocek siapa? Ke masih kecewa anak dia tak kerja FAM lagi sebab ada issue dengan staff?” ujar Tunku Ismail.
Untuk rekod, Azzuddin menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM dari 2007 hingga 2013 ketika FAM di bawah pimpinan Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah, sebelum digantikan oleh Tan Sri Hamidin Mohd Amin.



