Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memberi penjelasan mengenai status perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam yang dikatakan akan terkesan susulan keputusan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS).
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul menepis khabar angin perlawanan yang dijadual pada 31 Mac depan itu akan dibatalkan sekiranya Jawatankuasa Tatatertib AFC membuat keputusan menggantung Malaysia daripada beraksi perlawanan rasmi.
“Kita ambil maklum tentang spekulasi mengatakan Malaysia akan disingkirkan daripada pusingan kelayakan kerana rayuan telah ditolak CAS. Tetapi untuk makluman umum, jawatankuasa akan bersidang bagi membuat keputusan muktamad selepas menerima maklum balas rasmi daripada FAM.”
“Kami telah mengenal pasti klausa di dalam peraturan yang telah dilanggar dan sudah meminta mereka untuk mengemukakan maklum balas. Jawatankuasa sudah bersedia untuk membuat keputusan mengenai perkara ini. Kami menjangkakan keputusan akan diperoleh dalam tempoh tujuh ke 10 hari.”
“Proses pendakwaan awal sedang berjalan. Kita perlu berikan masa kepada FAM untuk memberi maklum balas, dan selepas itu, jawatankuasa akan bersidang untuk membuat keputusan berdasarkan penjelasan tersebut serta bukti yang dikemukakan oleh FIFA.”
“Apa sekalipun perlawanan mesti diteruskan. Ini adalah perlawanan yang melibatkan kontrak dan komersial yang tidak sewajarnya dibatalkan, melainkan atas faktor bencana alam.
“Kedua-dua pihak, Vietnam dan Malaysia, mempunyai obligasi komersial yang perlu dipenuhi. Perlawanan ini juga sangat penting untuk kedudukan ranking — dalam dunia bola sepak, ‘pembatalan’ bukanlah satu istilah yang baik,” tegas Windsor.
Pada 6 Mac lalu, CAS mengekalkan sebahagian rayuan oleh tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan kerana memalsukan dokumen dalam kes kelayakan melibatkan FAM, dengan memutuskan bahawa penggantungan mereka hanya terpakai untuk perlawanan rasmi.
CAS mengesahkan bahawa pemain-pemain tersebut tetap perlu menjalani penggantungan selama 12 bulan, namun meminda sekatan asal yang dikenakan oleh FIFA bagi membolehkan mereka terus berlatih dan terlibat dalam aktiviti bola sepak lain bersama kelab masing-masing.
Tujuh pemain yang terlibat adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Bagaimanapun, rayuan berasingan oleh FAM telah ditolak, yang bermaksud badan induk itu tetap perlu membayar denda sebanyak 350,000 Swiss francs (RM1.8 juta)



