HomeSukanMFL Diminta Kaji Semula Status Empat Pemain Warisan Palsu

MFL Diminta Kaji Semula Status Empat Pemain Warisan Palsu

Malaysia Football League (MFL) sepatutnya lebih tegas dan profesional dalam mengendalikan isu pendaftaran empat pemain warisan palsu. Mengiktiraf mereka yang didakwa terbabit dengan pemalsuan dokumen untuk mendapatkan kad pengenalan sebagai pemain tempatan seolah badan pengelola itu sendiri ‘menghalalkan’ salah laku.

Demikian pandangan pengkritik sukan, Datuk Dr Pekan Ramli yang turut beranggapan bahawa keputusan MFL boleh mencetuskan huru-hara dalam ekosistem bolasepak tanah air sekaligus menjadi rujukan yang salah buat pasukan-pasukan lain di masa akan datang.

“Saya harap MFL boleh mengkaji semula perkara ini kerana apa yang sudah berlaku ini, mencetuskan persepsi negatif dan kita boleh tengok penyokong turut menyuarakan perkara sama.

“Disebabkan perkara ini sudah berlaku, tidak mustahil pasukan lain akan tuntut benda sama dan ikut panduan yang sudah dikeluarkan ini. Akhirnya, banyak kekeliruan dan ekosistem bola sepak kita jadi haru-biru.

“MFL kena tunjukkan ketegasan dan profesional dalam isu ini. Keputusan ini sepatutnya meliputi dan memberikan kebaikan kepada semua pihak. Jangan setakat memberi kebaikan kepada segelintir sahaja.

“Peraturan itu sepatutnya memberi manfaat kepada bola sepak negara, khusus untuk Harimau Malaya. Kita tidak mahu kes ini menjadi duluan sehingga memberikan impak negatif kepada liga kita,” kata Pekan kepada BH Sukan.

MFL baru-baru ini telah mengesahkan pendaftaran empat pemain warisan palsu sebagai pemain tempatan adalah mematuhi peraturan pertandingan Liga Malaysia 2025/26.

Mereka adalah tiga pemain JDT iaitu Joao Figueireido, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta Gabriel Palmero yang menyarung jersi Kuching City.

Dalam satu kenyataan MFL menjelaskan manual liga menetapkan pemain boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dengan memuat naik salinan kad pengenalan atau pasport sah melalui sistem FIFA Connect.

Sehubungan itu, empat pemain terbabit telah melengkapkan proses pendaftaran menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Justeru MFL menegaskan tiada pelanggaran peraturan dilakukan oleh kelab terbabit dalam pendaftaran pemain berkenaan bagi musim 2025-26.

Pekan bagaimanapun berkata adalah wajar untuk melucutkan kerakyatan tujuh pemain itu memandangkan mereka tidak lagi menepati tujuan asal untuk mewakili skuad Harimau Malaya.

“Ini bukan soal isu kewarganegaran sahaja kerana mereka sudah mendapat kad pengenalan dan oleh kerajaan, tetapi isunya ia diberikan berasaskan dokumen palsu dengan tujuan mewakili skuad negara.

“Jadi kita perlu berbalik dengan merujuk kepada kesalahan itu dan kalau secara logiknya, pemberian itu secara asasnya tidak lagi menjadi sah dan dan ia boleh dilucutkan,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular