Kesabaran penyokong bolasepak tanah air ‘melayan’ sikap berdalih Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) berhubung isu pemalsuan dokumen pemain warisan nampaknya sampai ke kemuncak.
Media tempatan melaporkan lebih 70 penyokong bolasepak tanah air yang digerakkan Kelab Penyokong Bolasepak Selangor FC telah berhimpun di depan Wisma FAM di Kelana Jaya pada Selasa, bagi menyuarakan bantahan kepada dua organisasi tertinggi bolasepak negara itu.
“Kami ke Wisma FAM hari ini untuk membuat bantahan secara aman berkaitan dengan isu tujuh pemain warisan yang menggunakan dokumen palsu yang mana ia telahpun disahkan oleh FIFA dan CAS.
“Tindakan MFL menggantung mereka daripada bermain menunjukkan MFL akur dan menerima keputusan FIFA yang membuktikan pemain terbabit bukan warga Malaysia yang sah. Bagaimanapun MFL mengambil keputusan untuk mengabaikan peraturan serta tidak menghormati keputusan CAS dan FIFA mengenai isu ini apabila tetap mengesahkan status mereka sebagai pemain tempatan.
“Sebagai penyokong kami cuba mendesak sebaik mungkin, harap dengan titik permulaan kami akan diikuti kelab penyokong yang lain bagi terus mendesak dan sehingga perkara ini diselesaikan. Mungkin selepas Aidilfitri kalau tiada tindakan daripada FAM dan MFL, kami akan cuba buat yang lagi besar,” kata Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Selangor FC, Mohamad Hairy Ibrahim dipetik dari BH Sukan.
Sebelum ini, tindakan MFL mengesahkan empat daripada tujuh pemain terbabit yang beraksi dalam Liga Malaysia iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel (JDT) dan Gabriel Palmero (Kuching City) berstatus pemain tempatan mencetus pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan penyokong.
MFL menyatakan pendaftaran mereka adalah mengikut Peraturan Pertandingan Liga M 2025-26, dengan merujuk kepada manual liga yang menetapkan pemain boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dengan memuat naik salinan kad pengenalan atau pasport sah melalui sistem FIFA Connect.
Sebelum ini, pengkritik sukan, Datuk Dr Pekan Ramli turut menyuarakan pendapatnya mengenai situasi ini: “Saya harap MFL boleh mengkaji semula perkara ini kerana apa yang sudah berlaku ini, mencetuskan persepsi negatif dan kita boleh tengok penyokong turut menyuarakan perkara sama.
“Disebabkan perkara ini sudah berlaku, tidak mustahil pasukan lain akan tuntut benda sama dan ikut panduan yang sudah dikeluarkan ini. Akhirnya, banyak kekeliruan dan ekosistem bola sepak kita jadi haru-biru.
“MFL kena tunjukkan ketegasan dan profesional dalam isu ini. Keputusan ini sepatutnya meliputi dan memberikan kebaikan kepada semua pihak. Jangan setakat memberi kebaikan kepada segelintir sahaja.
“Peraturan itu sepatutnya memberi manfaat kepada bola sepak negara, khusus untuk Harimau Malaya. Kita tidak mahu kes ini menjadi duluan sehingga memberikan impak negatif kepada liga kita.”



