Kenyataan Rob Friend bahawa pengurusan pasukan kebangsaan (Malaysia NT) sedang meneliti untuk mencabar keputusan penolakan enam mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) disifatkan sebagai satu langkah pembaziran dan sia-sia.
Pemerhati bolasepak terkenal, Zakaria Rahim menegur kenyataan Rob Friend itu yang seolah tidak serik menegakkan benang yang basah apatah lagi segala saluran perundangan yang digunapakai selama ini semuanya ‘ke laut andaman’.
Selepas didapati bersalah dan hukuman dijatuhkan pada September lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia telah merayu kepada FIFA, gagal. Kemudian mencabar keputusan itu di CAS, gagal.
Semua proses ini bukan murah harganya, membabitkan wang besar namun tiada apa yang dapat dibuktikan melainkan FAM dan tujuh pemain warisan tetap didapati bersalah. Justeru, Zakaria berkata untuk mengambil satu lagi tindakan perundangan bagi mencabar keputusan AFC, adalah langkah bodoh.
“Jangan bazirkan wang negara dan rakyat kami. Jangan heret kami ke dalam permainan bodoh awak. Adakah tugas awak hanya bersuara setiap kali Harimau Malaya dihukum, tetapi berdiam diri apabila ditanya siapa sebenarnya yang memalsukan dokumen?.
“Awak dan team awak menyedut duit kami sampai habis, sudah tiba masa untuk hentikan. Sekarang kita kena pandang ke depan. Cukuplah merompak kami. Kami tidak mahu terus dirompak berulang kali!,” kata bekas pengurus pasukan Selangor itu.
Zakaria turut sekali lagi menekankan Rob Friend dan kesemua ahli pasukannya dalam Malaysia NT mengakui kegagalan, meminta maaf dan meletakkan jawatan atas segala kecelaruan yang telah disebabkan mereka kepada ekosistem bolasepak tanah air.
Yang tidak bersetuju dengan Zakaria, jelaslah anda semua tidak kisah duit negara dibazirkan. Anda semua adalah ‘enabler’ kepada mencari kejayaan dengan menggunakan jalan pintas. Anda semua tidak kisah kedaulatan negara dijual disebabkan sebiji bola. Anda semua tidak kisah maruah dan integriti Malaysia terus menerus dijadikan bahan ketawa di pentas antarabangsa.



