Demi menyelamatkan Peta Halatuju F:30 yang dilihat semakin tiada halatuju dan jauh tersasar daripada visi ditetapkan, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Hamidin Mohd Amin sedia membuat comeback untuk menerajui badan induk itu.
Sandru Narayanan dari Portal Scoop melaporkan Hamidin yang ketika ini merupakan Presiden Kehormat FAM, bimbang F:30 – buah tangan beliau yang dilancarkan pada 2018 akan melingkup jika jatuh ke tangan orang yang kurang berpengalaman.
“Hamidin sangat komited terhadap program F:30. Beliau percaya masih banyak perkara yang perlu diselesaikan, dan tidak mahu momentum yang telah dibina hilang begitu sahaja atau visi asalnya terpesong di bawah kepimpinan baharu.
“Beliau melihat pemilihan akan datang sebagai satu titik penting. Persatuan tidak mampu dipimpin oleh mereka yang kurang pengalaman pada saat ini. Masih banyak perkara yang belum diselesaikan, sama ada di dalam mahupun di luar padang, dan beliau bertekad untuk memastikan program F:30 disempurnakan.
“Selain itu, beliau juga mengambil berat tentang imej skuad kebangsaan. Isu kelayakan pemain telah mencalar reputasi bola sepak Malaysia, dan kepimpinan yang tegas amat diperlukan untuk memulihkan integriti, kredibiliti serta keyakinan orang ramai. Beliau merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk tampil dan membawa FAM kembali ke landasan yang betul,” lapor Scoop memetik sumber dalaman FAM.
Untuk makluman, Roadmap F:30 dilancarkan hanya tiga bulan selepas Hamidin bergelar Presiden FAM pada 2018 dengan perencanaan Malaysia menjadi lima negara terbaik Asia menjelang 2030.
Roadmap dengan tempoh 12 tahun itu dibahagi kepada tiga pelan strategik, iaitu fasa pertama dari tahun 2019 hingga 2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur, disusuli fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia, disudahi fasa ketiga (2027-2030) bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.
Sedikit demi sedikit peningkatan disaksikan, termasuklah Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit buat kali pertama dalam tempoh 42 tahun.
Kejayaan itu hadir di bawah kendalian ketua jurulatih Kim Pan-gon, yang dilantik oleh Hamidin bagi memperkasa prestasi skuad kebangsaan.
Namun begitu, selepas Hamidin berundur pada 2025, bola sepak Malaysia terpalit dengan kontroversi memalukan, skandal pemalsuan dokumen pemain warisan. FAM menjadi perhatian selepas menurunkan pemain ‘warisan palsu’ dalam beberapa perlawanan antarabangsa mengakibatkan keputusan lima perlawanan dibatalkan serta diisytihar kalah 0-3.
Skandal tersebut mencetuskan kritikan meluas dan disusuli dengan peletakan jawatan beramai-ramai ahli jawatankuasa eksekutif FAM, sekali gus mengheret persatuan itu ke dalam krisis.
“Kepimpinan Hamidin membawa struktur, visi dan profesionalisme. Beliau tahu bagaimana untuk membina bukan sekadar sebuah pasukan, tetapi keseluruhan sistem pembangunan — dari peringkat akar umbi hingga ke skuad kebangsaan.
“Hamidin percaya persatuan perlu mengambil langkah berani untuk memulihkan kepercayaan. Ini bukan sekadar soal tadbir urus, tetapi tentang menunjukkan kepada dunia bahawa bola sepak Malaysia mampu diurus secara profesional dan berintegriti.
“Hamidin sedang memerhati rapat. Beliau memahami timing, kepentingan dan tanggungjawab yang ada. Beliau tidak mahu F:30 jatuh ke tangan yang salah.
“Beliau percaya pengalaman bersama FIFA, AFC serta pentadbiran bola sepak tempatan menjadikan dirinya calon paling layak untuk membimbing FAM melalui tempoh mencabar ini, melindungi objektif program tersebut dan memulihkan imej skuad kebangsaan.
“Masih banyak yang perlu dilakukan. F:30 belum selesai. Reputasi pasukan perlu dipulihkan. Tadbir urus persatuan perlu diperkemaskan.
“Hamidin percaya beliau adalah individu yang tepat untuk merealisasikan semua ini. Ini tentang menyempurnakan visi yang telah dimulakan serta memastikan bola sepak Malaysia kembali dihormati,” tambah sumber itu.



