HomeSukanSatu Malaysia Prihatin, Namun KDAFC Kekal Membisu

Satu Malaysia Prihatin, Namun KDAFC Kekal Membisu

Bekas bintang import Kedah, Nelson San Martin bersyukur dengan bantuan dan sumbangan kewangan dihulurkan rakyat Malaysia selepas perkongsiannya mengenai kesukaran hidup menjadi viral beberapa hari lalu.

Nelson mengakui cukup terharu dan terkejut dengan kasih sayang, rasa simpati, serta sokongan yang ditunjukkan kepada beliau dan keluarga berikutan posting tersebut.

“Kepada penyokong Kedah yang luar biasa, dan komuniti bolasepak dari seluruh Malaysia – dari Sabah, Terengganu, Johor, Melaka, Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan di mana sahaja – terima kasih dari lubuk hati saya.

“Sokongan kewangan anda yang murah hati telah memberikan kami talian hayat untuk meneruskan hidup. Kerana kamu semua, keluarga saya dapat terus bertahan, dan tiada kata-kata untuk menggambarkan betapa besar makna bantuan itu kepada kami. Terima kasih banyak,” kata Nelson yang membantu Kedah menjulang double-treblepada 2007-2008.

Untuk makluman, Nelson terpaksa sampai ke tahap meminta bantuan kewangan daripada orang ramai berikutan tunggakan gaji bersama Kedah Darul Aman FC yang menurutnya sangkut selama beberapa bulan sejak daripada tahun lepas. Ia meleret tanpa penyelesaian sehingga dia akhirnya putus harapan selepas gagal menghubungi sesiapa dari kelab itu.

Beliau yang berasal dari Chile dilantik sebagai Pengarah Teknikal KDAFC pada 2024 dan menandatangani kontrak baru pada November 2025.

Menurut Nelson, meskipun kisahnya telah menjadi viral seluruh negara dan mendapat perhatian pelbagai pihak, namun belum ada sebarang maklumbalas diterima dari KDAFC.

“Walaupun segala yang telah berlaku, saya masih belum menerima sebarang komunikasi daripada pihak pengurusan KDAFC untuk menyelesaikan isu gaji saya yang tertunggak. Saya terus menunggu dan berdoa agar perkara ini dapat diselesaikan secara profesional dan penuh hormat dalam masa terdekat.

“Sekali lagi, terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia. Anda telah menerima saya ketika zaman saya bermain dahulu, dan kini anda menerima keluarga saya dalam saat paling gelap. Saya tidak akan pernah melupakan jasa anda semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nelson juga tampil menjelaskan bahawa beliau menghargai bantuan dari sesiapa sahaja pada waktu sukar ini termasuklah Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekiranya baginda sudi, namun menafikan rayuan tersebut adalah untuk pulang ke negaranya.

“Terdapat salah laporan, saya tidak mahu meninggalkan Malaysia. Impian terbesar saya adalah untuk terus berada di sini. Malaysia adalah rumah saya. Matlamat saya ialah mengatasi segala cabaran, mencari pekerjaan, dan menetap di sini selamanya bersama keluarga untuk terus menyumbangkan hidup dan semangat saya kepada bola sepak Malaysia. Saya mati di sini!”

RELATED ARTICLES

Most Popular