HomeSukan"Keputusan Ini Demi Kepentingan Skuad Kebangsaan"

“Keputusan Ini Demi Kepentingan Skuad Kebangsaan”

Keputusan untuk mengurangkan jumlah pemain import dalam liga domestik daripada lapan kepada hanya tiga pemain, dibuat demi memberi lebih peluang kepada bakat tempatan serta mengambil kira kepentingan skuad kebangsaan.

Demikian tegas Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Sri Subahan Kamal yang menyatakan keputusan penting itu juga didorong permintaan majoriti kelab yang menyuarakan keperluan untuk pembangunan pemain-pemain tempatan.

“Kita telah mengurangkan kuota pemain import daripada lapan kepada tiga dan mereka mesti sekurang-kurangnya pernah bermain untuk pasukan kebangsaan.

“Kita mahu kelab mengambil lebih ramai pemain kebangsaan kerana pada akhirnya, tujuan utama penganjuran liga domestik adalah untuk memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan,” kata Subahan dipetik dari portal Scoop.

Subahan menjelaskan bahawa keputusan itu juga dalam masa sama akan memastikan kelab memberi tumpuan kepada kualiti, bukannya sekadar membawa masuk pemain import tanpa pengalaman di peringkat tinggi.

“Kita tidak mahu kelab membawa masuk pemain import tanpa pengalaman atau yang tidak pernah bermain di tahap tinggi. Daripada membawa masuk pemain import berkualiti rendah, lebih baik sesebuah pasukan menggunakan pemain tempatan. Itu akan memberi manfaat kepada kita dalam jangka panjang,” katanya.

Sebelum ini, portal yang sama melaporkan bahawa Nurinsafi Sporting yang mewarnai liga hoki kebangsaan selama dua dekad, akan menarik diri daripada saingan musim baru kerana kuota baharu pemain import memberi kesan besar terhadap keupayaan mereka untuk kekal kompetitif.

Dalam pada itu, Subahan percaya bahawa beraksi bersama pemain import berkualiti akan terus membantu meningkatkan kemampuan pemain tempatan.

“Liga ini akan kekal kompetitif dan ia akan memberi manfaat kepada pemain kita kerana mereka berpeluang bermain bersama pemain import berkualiti tinggi, itu pasti,” ujarnya lagi.

Bagi memastikan keseimbangan di atas padang, MHC telah meningkatkan jumlah keseluruhan gabungan pemain import dan pemain kebangsaan daripada enam kepada lapan, sekali gus mengekalkan tahap persaingan sambil memberi ruang kepada pemain tempatan untuk menyerlah.

RELATED ARTICLES

Most Popular