HomeSukanJDT atau JDT II Sama Sahaja, Sumareh Tak Rasa Downgrade

JDT atau JDT II Sama Sahaja, Sumareh Tak Rasa Downgrade

Dengan kredibiliti yang dimiliki, Mohamadou Sumareh sepatutnya wajah yang masih mewarnai saingan Liga Super. Pernah menjadi antara pemain import yang cukup berprofil tinggi sebelum diberikan kewarganegaraan Malaysia sekaligus muncul pemain naturalisasi pertama kancah bolasepak tempatan.

Tetapi sayang sekali kini dia sekadar beraksi di saingan Liga A1 Semi-pro bersama JDT II. Jika dulu namanya selalu bermain di bibir penyokong, semuanya sudah berubah, dia lebih banyak menjadi sasaran ‘troll’ setiap kali namanya dibangkitkan.

Ramai melihat ia sebagai satu ‘downgrade’ yang besar kepada kariernya – dari Liga Super ke Liga Amatur, dari JDT ke JDT II – namun ini jawapan Sumareh mengenai pandangan itu.

“Tidak kisah JDT atau JDT II, selagi ada logo sama di dada anda, ia tetap JDT. Saya masih gembira dapat bermain untuk JDT dan mendapat minit permainan. Ia bagus untuk kecergasan saya, apabila setiap kali ada peluang untuk bermain dengan JDT, saya akan memanfaatkannya,” katanya kepada Astro Arena selepas perlawanan menentang Malaysian University di Shah Alam.

JDT II melakar kemenangan penting 1-0 untuk mengukuhkan kedudukan di tangga kedua dan terus menghambat Selangor II yang menerajui Liga A1 dengan kelebihan satu mata. Begitupun Sumareh tidak terasa tekanan dan percaya pasukan kendalian Joseph Ferre itu akan mengekalkan momentum sehingga penghujung saingan untuk muncul juara.

“Kami boleh menjadi juara (Liga A1), kami memiliki satu perlawanan dalam tangan. Kami cuma tidak boleh cicir sebarang mata dan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” ujar pemain berasal berusia 31 tahun dari Gambia itu.

Ketika ini Selangor II mengumpul 46 mata tetapi sudah beraksi 21 perlawanan, manakala JDT II (45 mata) pula beraksi 20 perlawanan. Jumlah perlawanan yang perlu diharungi semua pasukan adalah 28 perlawanan berikutan Machan FC sudahpun sah menarik diri.

RELATED ARTICLES

Most Popular