Bekas pemain kebangsaan, Dato’ Zainal Abidin Hassan menganggap ianya lucu apabila individu yang tidak ada sebarang pencapaian sepanjang memegang jawatan di sebuah kelab menyatakan mempunyai jalan penyelesaian untuk menyelamatkan Liga Malaysia yang semakin tenat.
Beliau membidas dan mempersoalkan kredibiliti individu tersebut yang menurutnya tidak dapat menyelesaikan masalah di kelab sendiri yang masih bergantung kepada padang rumput lembu dan beroperasi tanpa struktur akademi lengkap bermula dari peringkat bawah 12 tahun dan ke atas.
“Agak kelakar apabila CEO sebuah pasukan yang tiada pencapaian mahupun prinsip mengatakan mempunyai penyelesaian untuk Liga Malaysia sedangkan pasukan sendiri masih bergelut atas padang, masih bertegas dengan penggunaan ‘cowgrass’ dan tidak mempunyai akademi dari bawah 12 tahun ke atas.
“Kalau pemikirannya adalah bersifat jangka panjang, kenapa asyik tukar jurulatih setiap musim? Kenapa asyik tidak ada kepercayaan pada jurulatih, kenapa tidak memberi masa pada jurulatih dan di era profesional, kenapa masih bergantung kepada duit kerajaan?
“Di manakah pegawai pemasaran yang diberi tugas untuk mencari dana pasukan, apa yang mereka lakukan untuk kebaikan pasukan dan kenapa masih membayar gaji yang terlalu tinggi kepada jurulatih serta pemain import? Khususnya yang tidak berkualiti, di sini berlaku terlalu banyak pembaziran.
“Mana fasiliti untuk kemajuan pasukan dan program asas, kenapa fasiliti dan akademi tidak diutamakan? Inilah yang kita patut adakan untuk membentuk pemain tempatan yang berkualiti dan demi masa depan pemain.
“Jadi nasihat saya, fikirkan dengan bijak bagaimana kita nak capai kemajuan dalam bola sepak, bukan kepentingan peribadi. Saya mohon maaf jika teguran saya agak keras dan tidak disenangi.
“Saya telah melalui apa yang diperlukan untuk menjadi juara dan apa yang perlu dilakukan. Kejayaan datang melalui kerja keras — bukan dengan melangkah ke belakang,” katanya kepada BHSukan.
Kata-kata Zainal itu dipercayai ditujukan kepada CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, yang sebelum ini memberitahu beliau mempunyai idea untuk menyelesaikan masalah kewangan kelab-kelab Liga Malaysia.
Johan Kamal menekankan adalah penting untuk MFL dan semua pihak berkepentingan duduk semeja dan mencapai satu keputusan segera untuk liga domestik terus bertahan bagi jangka panjang.
Beliau dalam masa sama menyatakan bahawa Selangor bersedia menerima apa sahaja perubahan atau pembaharuan dilaksanakan Malaysia Football League (MFL) terhadap struktur Liga Malaysia.
Ini termasuklah cadangan-cadangan transformasi mahupun reformasi Liga Malaysia yang semakin hangat diperkatakan antaranya kembali kepada format liga semi-pro, penyelarasan bajet pasukan bagi memastikan persaingan lebih adil, perubahan kuota import dan lain-lain.
Bagaimanapun bagi Zainal, perkara penting yang perlu difikirkan sekarang bukannya tentang penstrukturan semula liga sebaliknya mencari jalan untuk membangunkan bolasepak dan terus maju ke depan.
Menurutnya, cadangan seperti menetapkan gaji siling, kembali ke zaman semi-pro, dan mengehadkan kuota pemain import adalah langkah ke belakang.
“Solusi untuk semua pasukan adalah berbelanja mengikut kemampuan. Mengutamakan fasiliti dan pembangunan. Liga lain di Eropah umpamanya Jerman, Belanda, Sepanyol dan juga Thailand semua boleh mengikut kaedah ini.
“Namun, di Malaysia ada yang berfikiran bahawa untuk liga maju, pasukan yang berjaya harus dikekang. Ideologi ini adalah langkah ke belakang dan akan membawa liga balik ke era semi-pro.
“Adakah kerana sikap cemburu dan tidak dapat bersaing, kita harus berundur dan sanggup mengubah liga. Kita harus bersaing dengan bijak baru ada kemajuan, bukan berundur. Penyokong tahu menilai, mereka akan tetap menyokong pasukan jika ada kemajuan,” katanya.



