Malaysia Football League (MFL) tidak bersetuju dengan tanggapan bahawa Liga Malaysia sedang berada dalam keadaan tenat dan perlu diselamatkan.
Meskipun mengakui beberapa kelab sedang berdepan cabaran tertentu, terutamanya masalah kewangan tetapi CEO MFL, Shazli Shaik Mohd berkata secara keseluruhannya keadaan masih terkawal.
“Kalau melihat kepada pelaksanaan FFP kita ini tahun pertama FFP dilaksanakan. La Liga ambil masa lima tahun untuk betul-betul sihatkan liga mereka.
“Kita baru tahun pertama, belum habis lagi pun, tetapi kita dapat lihat banyak perkembangan positif daripada pelaksanaan FFP.
“Jadi kepada saya di MFL, kita tak rasa perkara ini tenat ataupun liga tengah dalam proses ke arah ke belakang dan sebagainya. Jangan buat penilaian terburu-buru, proses menstabilkan liga memerlukan masa,” kata Shaik Shazli.
Beliau bagaimanapun menyambut baik hasrat disuarakan beberapa kelab mengenai keperluan untuk satu perbincangan meja bulat bagi membincangkan situasi sukar yang dihadapi kebanyakan pasukan.
“Perjumpaan ini sangat baik untuk kita dapat dengar suara kelab dan kita tambah baik perkara-perkara yang disuarakan nanti,” ujarnya.
Sebelum ini, CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon mencadangkan agar semua kelab duduk semeja dan berbincang secara terbuka serta jujur mengenai realiti semasa Liga Malaysia.
Johan berpendapat isu kewangan majoriti pasukan dan struktur bola sepak tempatan perlu dibincangkan secara bersama supaya penyelesaian lebih realistik dapat dicapai.
Ia turut mendapat sokongan kelab-kelab seperti Terengganu FC, Penang FC, Sabah FC, Negeri Sembilan FC yang menyatakan keterbukaan untuk mengadakan perbincangan serius demi mencari jalan penyelesaian terbaik.
Antara isu utama yang dijangka menjadi perhatian ialah kedudukan kewangan kelab, struktur perjalanan liga serta langkah jangka panjang untuk memastikan kelangsungan saingan domestik.



