Bekas CEO Malaysia Football League (MFL) yang lama menyepi, Kevin Ramalingam, tiba-tiba muncul untuk membidas wakil kelab yang mahukan perbincangan meja bulat untuk menyelesaikan masalah Liga Malaysia yang berada di keadaan membimbangkan.
Kevin yang tidak pernah update apa-apa status di laman X miliknya sejak hampir tiga tahun, menyelar tindakan ini yang bermula dengan cadangan CEO Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon yang kemudiannya disokong beberapa kelab lain sebagai hipokrit.
Ini kerana menurutnya MFL sudah lama menyediakan platform perbincangan dan semua pemegang taruh bebas mengutarakan pandangan.
“Saya tak faham kekeliruan ini (perlunya perbincangan meja bulat). MFL itu sendiri adalah platform dan perlembagaan membenarkan pasukan-pasukan menggunakan platform tersebut untuk membawa apa-apa perkara untuk dibincangkan.
“Perbincangan secara tidak rasmi semua orang pun boleh, itu dipanggil sembang kedai kopi. Tetapi apabila ada perkara yang serius (kononnya) untuk dibentangkan, gunakanlah perlembagaan. Ia memang untuk membantu setiap kelab.
“MFL adalah platform untuk pasukan. Gunakan mesyuarat lembaga dan mesyuarat rakan kongsi (kongres). Apa gunanya bercakap di luar secara terbuka, tetapi bila hadir ke platform sebenar, hanya senyum, minum kopi, makan karipap dan balik tanpa sebarang sumbangan. Dasar hipokrit!” tegas Kevin yang merupakan CEO MFL dari 2015 ke 2019.
Kevin yang juga merupakan bekas CEO TRW Sdn Bhd menyatakan kemungkinan besar gerakan ini sebenarnya mempunyai agenda lain di sebaliknya dan bukanlah demi kelestarian Liga Malaysia.
“Mungkin agendanya bukan benar-benar untuk memperbaiki keadaan. Sebab kalau betul, awak tahu di mana saluran yang sepatutnya digunakan. Mungkin nak jadi ADUN pilihan raya akan datang kot—saja nak popularkan diri.
“Malah liga-liga terbaik pun ada konflik, tapi mereka tahu kenyataan terbuka bukan sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka.”
Untuk rekod, sebelum ini, Johan Kamal ada menyatakan bahawa Selangor bersedia menerima apa sahaja perubahan atau pembaharuan dilaksanakan MFL terhadap struktur Liga Malaysia.
Ini termasuklah cadangan-cadangan transformasi mahupun reformasi Liga Malaysia yang semakin hangat diperkatakan antaranya kembali kepada format liga semi-pro, penyelarasan bajet pasukan bagi memastikan persaingan lebih adil, perubahan kuota import dan lain-lain dalam memastikan liga tempatan terus bertahan untuk jangka panjang.
Malah beliau memberitahu Selangor sendiri ada solusi penyelesaian yang boleh dibentangkan sambil menekankan adalah penting untuk satu keputusan bersama di antara MFL dan semua pihak berkepentingan perlu segera dicapai mengambil kira kedudukan kewangan pasukan yang berada dalam keadaan membimbangkan.
Ia mendapat sokongan daripada beberapa kelab lain seperti Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan, Penang dan Kuching manakala JDT pula menyatakan rasa berminat untuk tahu apa idea yang mahu dibentangkan.



