Thailand membuktikan reputasi mereka selaku jagoan futsal Asia Tenggara, apabila muncul juara Piala AFF buat kali ke-17 setelah menewaskan Indonesia dalam aksi final berlangsung sengit di Kompleks Sukan Nonthaburi.
Indonesia yang turun membawa status juara bertahan serta naib juara Asia, berada di depan menerusi jaringan Andres Putra. Namun Thailand yang hanya dua kali gagal muncul juara sepanjang 19 kali Piala AFF dianjurkan, bangkit menerusi jaringan Itticha Praphaphan dan Panat Kittipanuwong untuk merampas semula kejuaraan.
Menariknya, kejayaan Thailand, dipacu Rakphol Sainetngam yang diberi tanggungjawab membimbing negara kelahirannya itu setelah meninggalkan Harimau Malaya pada hujung tahun lalu.
Rakphol sebelum ini memimpin skuad negara selama dua tahun dengan kejayaan terbesarnya adalah membawa Malaysia layak beraksi di Piala Asia 2026 setelah muncul satu daripada pasukan naib juara terbaik di pusingan kelayakan.
Bagaimanapun Rakphol atau dikenali sebagai Coach Hamee tidak sempat membimbing Malaysia di Piala Asia yang berlangsung pada Januari lepas, apabila memilih tidak menyambung kontraknya yang berakhir pada Disember.
Beliau kemudiannya diperkenalkan sebagai ketua jurulatih Thailand menggantikan pengendali terkemuka dari Sepanyol, Miguel Rodrigo manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pula melantik Addie Azwan Zainal sebagai jurulatih Harimau Malaya.
Dalam tugasan pertamanya bersama Thailand di Piala Asia, Rakphol membawa Thailand mara ke suku akhir sebelum disingkirkan Iraq. Malaysia pula menduduki tangga tercorot kumpulan setelah tewas ketiga-tiga perlawanan.
Di pentas AFF kali ini, Thailand muncul juara dengan memenangi kesemua lima perlawanan manakala cabaran Malaysia berakhir lebih awal di peringkat kumpulan setelah hanya mencatat satu kemenangan ke atas Brunei.



