HomeNostalgiaIdea 'Jahat' Arsene Wenger Elak Kena Counter Bila Hilang Bola

Idea ‘Jahat’ Arsene Wenger Elak Kena Counter Bila Hilang Bola

Nama Arsène Wenger sentiasa dikaitkan dengan falsafah permainan cantik. Namun, tahukah anda, pengurus lagenda Arsenal itu pernah menunjukkan sisi berbeza susulan insiden yang berlaku dalam satu perlawanan pada tahun 2010.

Wenger tampil dengan satu idea yang agak praktikal bagi menangani situasi kehilangan bola, namun disifatkan sebagai taktik ‘jahat’ dan tiada semangat kesukanan.

Berpunca insiden pada perlawanan Arsenal menentang Everton di Stadium Emirates, di mana ketika itu, pemain tengah, Denilson, terjatuh tanpa dicabar sesiapa ketika sedang membawa bola.

Situasi itu menyebabkannya hilang bola dan membuka ruang kepada Everton untuk melancarkan counter-attack pantas yang begitu hampir menghasilkan gol namun mujur Manuel Almunia tampil sebagai penyelamat.

Jika James Vaughan berjaya menyudahkan peluang itu, Everton akan mendahului 3-1 dan ianya game over untuk Arsenal. Namun Arsenal bernasib baik dan berjaya menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-2.

Baca Juga: Mengimbau Perjalanan Musim Invincibles Arsenal

Insiden tersebut jelas tidak disenangi Wenger dan sekaligus menimbulkan kemarahannya. Dia mahu pemainnya mengambil pengajaran tentang risiko kehilangan bola dalam keadaan sebegitu.

Selepas perlawanan, Wenger mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan ramai pihak. Beliau secara terbuka menasihatkan pemainnya supaya melakukan foul dengan sengaja, termasuk sentuh bola dengan tangan (handball) — jika situasi sama berulang lagi.

“Saya berkata kepada Denilson, jika perkara seperti itu berlaku, pegang bola, ia akan jadi handball. Saya sangat serius, ini bukan gurauan. Jika kamu jatuh, hilang bola, dan tiada foul, kamu tidak boleh meminta lawan menghentikan counter attack mereka.

“Apabila kamu jatuh seperti itu, sekurang-kurangnya apabila sentuh bola dengan tangan, berikan foul dan lawan dapat sepakan percuma. Ia lebih baik daripada kena counter, paling tidak momentum mereka terjejas,” kata Wenger.

Solusi diberikan Wenger, ada yang melihatnya sebagai pendekatan bijak dan realistik dalam permainan berintensiti tinggi – bertindak mengikut situasi. Namun, tidak kurang juga yang mengkritik saranan tersebut kerana dianggap bertentangan dengan semangat kesukanan dan dalam masa sama menggalakkan pemain untuk berlaku tidak jujur.

Apa yang pasti, insiden ini menunjukkan bahawa walaupun terkenal dengan gaya permainan menyerang dan elegan, Wenger juga seorang pengurus yang memahami sisi gelap taktikal bola sepak — di mana kadangkala, “foul pintar” boleh menjadi perbezaan antara menang dan kalah.

Dalam konteks bola sepak moden hari ini, apa yang diungkapkan Wenger mungkin tidak lagi mengejutkan. Malah, terjatuh dan pegang bola dengan sengaja sudah menjadi sebahagian daripada “dark arts” dalam permainan — ‘taktik jahat’ yang sering berlaku, tetapi jarang diakui secara terbuka.

Apa sekalipun, hilang kawalan bola tanpa dicabar, terjatuh dan kemudian sentuh bola dengan tangan jauh lebih baik berbanding hilang bola tanpa dicabar dan ‘sauk’ kaki pemain lawan seperti dilakukan Mukhairi Ajmal dalam perlawanan Selangor menentang KUchign tempoh hari.

RELATED ARTICLES

Most Popular