HomeNostalgiaIndonesia Pilih Tewas Kepada China Kerana Tak Mahu Jumpa Malaysia

Indonesia Pilih Tewas Kepada China Kerana Tak Mahu Jumpa Malaysia

Hanya beberapa hari sahaja lagi akan bermula saingan Piala Thomas, kejohanan berpasukan lelaki paling berprestij dalam arena badminton.

Malaysia bertandang ke Horsens, Denmark membawa misi menoktahkan kemarau kejuaraan selama 34 tahun – kali terakhir bergelar juara pada tahun 1992 dengan menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi final sengit di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Bekas beregu terkemuka Indonesia yang kini Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky antara yang beraksi pada final tersebut, sebagai beregu kedua Indonesia bergandingan dengan Ricky Subagja.

Berkongsi pengalaman dan kenangan bermain di Piala Thomas pertamanya itu, Rexy tanpa berselindung menyatakan Indonesia sebenarnya sedikit bimbang untuk bertemu Malaysia dan sengaja mengelak pertembungan dengan pasukan negara di peringkat separuh akhir.

Disebabkan itu, Indonesia yang ketika itu turun dengan status pasukan pilihan dan mempunyai tujuh pemain di ranking lima terbaik dunia, memilih untuk kalah di tangan China dan muncul naib juara Kumpulan A.

“Ketika itu dua kumpulan, kami di Kumpulan A dan Malaysia di Kumpulan B. Format ketika itu juara akan bertemu naib juara di separuh akhir, Malaysia ketika itu tewas mengejut kepada Korea Selatan jadi mereka muncul naib juara Kumpulan A.

“Kami tidak mahu jumpa Malaysia di separuh akhir, jadi kami memilih untuk tidak mahu menang dengan China dalam aksi terakhir kumpulan. Disebabkan itu, jurulatih membuat rombakan besar di mana Ricky Subagja turun sebagai perseorangan pertama, saya sendiri turun sebagai perseorangan kedua.

“Kami kalah perlawanan itu 5-0 dan muncul naib juara kumpulan untuk bertemu Korea Selatan di separuh akhir. Kami menang dan layak ke final, tetapi malangnya tidak dapat mengelak bertemu Malaysia yang layak dengan mengejutkan China.

“Malaysia bermain dengan begitu energetik, saya dan Subagja menghadiahkan mata kejuaraan buat Malaysia. Kami tewas kepada Cheah Soon Kit-Soo Ben Kiang,” kata Rexy.

Pada aksi final itu, Malaysia melakar kemenangan ke atas Indonesia setelah Rashid Sidek menewaskan pemain nombor satu dunia Ardi Wiranata (1-0); Razif dan Jalani Sidek tewas kepada Eddy Hartono-Rudi Gunawan (1-1); Foo Kok Keong menewaskan Alan Budi Kusuma (2-1); sebelum kejuaraan disahkan Soon Kit-Beng Kiang (3-1).

Perlawanan terakhir yang tidak lagi membawa sebarang makna, Kwan Yoke Meng tewas kepada Joko Suprianto untuk keputusan akhir 3-2.

RELATED ARTICLES

Most Popular